suria

Pengarah Kesal Adegan Khatan Kena Potong

Ismail terpaksa terima dengan keputusan LPF yang memotong babak berkhatan dalam filem Lu, Gua Bro!

PETALING JAYA: Pengarah filem Lu, Gua Bro!, iaitu Ismail Bob Hasim meluahkan rasa kecewa terhadap Lembaga Penapisan Filem (LPF) apabila salah satu adegan filem itu yang membabitkan seorang Tok Mudim menunjukkan pisau sabit yang digunakan untuk upacara berkhatan telah dipotong.

Ismail berkata, alasan yang diberikan pihak LPF adegan itu boleh menakutkan kanak-kanak terutamanya bagi mereka yang bakal berkhatan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal.

"Pengarah filem mana yang tidak kecewa apabila karya mereka dipotong tanpa alasan yang kukuh. Tetapi dalam hal ini saya rasa babak menunjukkan pisau sabit tidaklah terlalu serius dan kanak-kanak tidak perlu takut kerana sekarang ini mereka berkhatan tanpa perlu rasa sakit di klinik.

"Dan dalam filem ini pula, saya mahu menunjukkan budaya berkhatan yang dilakukan pada zaman dahulu memandangkan ada segelintir masyarakat kini tidak tahu adat-adat tersebut," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun Ismail mengambil perkara itu sebagai satu benda positif untuk dirinya agar lebih peka dalam menghasilkan sesebuah karya pada masa akan datang.

e5t43
Antara babak dalam filem Lua, Gua Bro!

Sementara itu, mengenai Lu, Gua Bro! 

ia mengisahkan dua orang sahabat karib iaitu Mi dan Yu yang sanggup mengharungi kehidupan susah senang bersama-sama.

Beritahu Ismail, filem itu turut memaparkan kisah-kisah masyarakat kampung namun tidak terlalu bersifat ortodoks sehingga ia menyukarkan penonton muda untuk memahami filem tersebut

"Filem ini memaparkan isu-isu semasa masyarakat kampung yang mungkin tidak ramai golongan bandar tahu. Selain itu adat-adat Melayu seperti upacara berkhatan, seni silat dan semangat setia kampung juga dipaparkan.

"Menariknya lagi, saya juga memasukkan elemen mengimbau kenangan antara Yu dan Mi seperti mereka menunggang basikal keliling kampung dan berendam dalam parit di mana anak muda zaman kini tidak pernah merasainya," ujar Ismail.

Filem Lu, Gua Bro! akan ditayangkan bermula 27 Mac  dibarisi pelakon seperti  Nina Iskandar, Zalif Sidek, Hamid Gurkha, Epy kodian dan Rahim.

Artikel Lain