suria

Fouziah Mahu Bercinta Selepas Kahwin

SHAH ALAM: Pelakon Fouziah Gous ingin merasai nikmat bercinta dalam hubungan yang sah selepas bergelar isteri kepada Md Zhafran Md Yusof,30, pada Sabtu lalu.

Fouziah, 30, berkata, perkenalan yang singkat dengan suaminya membuatkan hubungan percintaan mereka masih diperingkat permulaan.

"Saya sebenarnya teringin keluar 'dating' dan pakai cantik-cantik, sebelum ini kami jumpa selepas kerja dan belum lagi berpeluang untuk menjalani aktiviti seperti pasangan kekasih.

"InsyaAllah selepas berkahwin ini kami banyak masa untuk itu dan hubungan kini pun sudah sah di sisi agama," katanya ketika ditemui selepas majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini, Sabtu.

Sementara itu, Fouziah berkata, dia akan terus aktif dalam bidang lakonan biarpun kini sudah memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.

"Aktiviti lakonan saya masih sama cuma buat masa ini saya akan bercuti panjang untuk persiapan majlis persandingan kedua-dua belah pihak.

"Daripada segi batasan sebagai isteri, pada saya sejak masuk dalam industri seni saya sentiasa menjaga batasan sebagai seorang wanita kerana itu janji saya kepada ibu," katanya.

Menyentuh soal perancangan keluarga, Fouziah berkata, dia menyerahkan rezeki cahaya mata kepada Allah sama ada cepat atau lambat.

Tambahnya, mereka masih belum menetapkan lokasi berbulan madu bagi menumpukan perhatian kepada majlis resepsi terlebih dahulu.

Fouziah sah bergelar isteri kepada Md Zhafran dengan hanya sekali lafaz dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, majlis resepsi persandingan bagi pihak perempuan akan diadakan pada 29 September ini di Hotel J.Marriot, Putrajaya, manakala sebelah lelaki pada 5 Oktober depan di kediamannya di Bukit Jelutong.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain