suria

Aliff Aziz Kini Menetap Di KL

KUALA LUMPUR: Penyanyi Singapura, Mohammad Aliff Aziz atau Aliff Aziz, 20, telah membuat keputusan untuk menetap di Kuala Lumpur (KL) agar dapat memberi fokus sepenuhnya terhadap karier seninya di industri tempatan.

Aliff berkata, hasrat untuk berpindah sudah lama dirancang tetapi dia perlu menghabiskan program khidmat negara di Singapura selama dua tahun.

"Sejak muncul dengan album pertama, saya banyak melakukan aktiviti seni di Malaysia dan rasanya adalah lebih baik untuk saya berpindah agar segala urusan berjalan dengan mudah.

"Bagaimanapun, saya tetap akan berulang alik ke Singapura kerana keluarga masih di sana. Apabila kerjaya sudah stabil, saya akan membawa mak dan ayah pula untuk menetap di sini," katanya yang ditemui pada majlis ulang tahun budiey.com di pusat hiburan Zouk, di sini, Sabtu.

Tambah Aliff, dia juga bakal muncul dengan album ketiga pada bulan Mac depan dan pelancaran album yang masih belum diberi judul itu akan diadakan di Malaysia.

"Dari mula lagi saya sebagai penyanyi, peminat-peminat di Malaysia telah banyak menyokong karier saya. Bagaimanapun ini tidak bermakna saya lupakan terus tentang industri muzik di Singapura.

"Cuma di sini, industrinya lebih luas lagi berbanding di Singapura. Justeru itu, saya dan syarikat rakaman Warner Music, akan melancarkan album baru saya itu di KL," ujarnya.

Beritahu Aliff, album berkenaan akan memuatkan sebanyak tujuh buah lagu yang dihasilkan oleh komposer-komposer terkenal seperti panji, Jimi (Sofaz) dan Azlan Abu Hassan dan akan membuat rakaman dalam masa terdekat ini.

"Untuk album ketiga ini, saya masih mengekalkan genre pop dan istimewanya, lagu-lagu yang dimuatkan lebih ke arah konsep 'easy listening' tetapi dengan nyanyian yang lebih matang.

"Sebelum ini, walaupun telah sudah mempunyai dua album, para peminat hanya tahu dua buah lagu sahaja iaitu Sayang Sayang dan Kalau Cinta. Ktika itu juga saya masih lagi mencari identiti diri dalam nyanyian lagu.

"Dan itu satu pengajaran untuk diri saya untuk memilih lagu yang sesuai bagi album ketiga ini," tuturnya.

Dalam pada itu, kata Aliff dia juga tidak keberatan andaikata ditawarkkan untuk berlakon kerana turut meminati bidang tersebut.

Malah Aliff sudah pun memulakan lakonan pertamanya menerusi drama berjudul Antara Kita yang akan ditayangkan di saluran TV2 tidak lama lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain