suria

Dain Said Tidak Kesal Filem Kisah Mona Fendey Dibekukan

Dain Said mahu fokus pada filem Bunohan yang akan ditayangkan di pawagam bermula 8 Mac depan. - Foto oleh K.C.VALARMATHY
Dain Said mahu fokus pada filem Bunohan yang akan ditayangkan di pawagam bermula 8 Mac depan. - Foto oleh K.C.VALARMATHY
Dain Said mahu fokus pada filem Bunohan yang akan ditayangkan di pawagam bermula 8 Mac depan. - Foto oleh K.C.VALARMATHY

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Bunohan Dain Iskandar Said tidak menyesal filem pertama arahannya Dukun yang diterbitkan enam tahun lalu dibekukan daripada tayangan gara-gara kontroversi.

Dain berkata sebagai pengarah yang hanya dibayar gaji untuk mengarah filem itu, dia tidak berhak untuk mengulas lanjut tentang isu filem yang dikatakan memaparkan kisah pembunuhan ahli politik Malaysia, Datuk Mazlan Idris oleh bomoh bernama Mona Fandey.

“Soal filem itu ditayangkan atau tidak berada di luar kawalan saya. Saya hanya diminta untuk mengarahkannya dan tiada sebarang kuasa untuk mengulas lanjut tentang apa juga kontroversi atau pandangan orang ramai tentang nasib filem itu.

“Secara peribadinya, tidak timbul isu menyesal atau terkilan tetapi saya bersedih kerana masyarakat tidak berpeluang untuk menonton lakonan hebat para pelakonnya termasuk Umie Aida dan Faizal Hussein,” katanya dalam satu pertemuan bersama mStar Online.

Difahamkan keluarga Allahyarham Mona Fendey kurang senang dengan penerbitan filem itu dan berhasrat mengambil tindakan mahkamah jika ia ditayangkan kepada umum.

Dain berkata apa yang menjadi keutamaannya kini adalah untuk memandang ke hadapan dan memikirkan tentang peluang dan sambutan filem terbarunya, Bunohan apabila ia ditayangkan pada 8 Mac depan.

“Filem Bunohan bagaikan bayi saya kerana ia bukan saja ditulis dan diarahkan oleh saya, malah ia diterbitkan oleh syarikat produksi saya Apparat Films.

“Besar harapan saya filem ini diterima oleh penonton kerana ia bukan sahaja sebuah filem yang sarat dengan kisah dan budaya, ia juga diimbangi aksi dan lakonan para pelakon yang berkaliber,” katanya.

Bunohan berkisar tentang hubungan tragik dan kasih sayang adik-beradik dan konflik bersama bapa mereka yang uzur. Kisah pergelutan mereka untuk merapatkan ikatan kekeluargaan itu telah mendorong tiga saudara ini ke arah keganasan, korupsi dan pembunuhan.

Sekalipun belum menjengah pawagam tempatan, filem lakonan Faizal Hussein, Zahiril Adzim dan Pekin Ibrahim ini sudah mendapat perhatian secara meluas di merata festival filem di luar negara termasuklah di Toronto, Kanada, Rotterdam, Belanda dan Taipei, Taiwan.

Artikel Lain