suria

Suria FM Di Sabah Tampil Pelbagai Lagu

PETALING JAYA: Stesen radio Suria FM membuka sebuah studio khas untuk siaran di negeri Sabah yang diberi nama Suria FM Sabah.

Majlis perasmian studio baru tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan dan juga merupakan tetamu pertama yang bersiaran secara langsung di radio Suria FM Sabah tersebut.

Suria FM Sabah beroperasi bermula 1 mac lalu di Tingkat 2, 1 Borneo Hypermall, Jalan Sulaman, Kota Kinabalu.

Ia boleh diikuti menerusi frekuensi 105.9 FM di bandar itu.

Rancangan di Suria FM Sabah ini turut menyajikan campuran lagu tempatan dan juga lagu-lagu komersial artis lain.

Lebih istimewa program dan lagu disusun mengikut cita rasa pendengar berdasarkan kajian yang dibuat bersama-sama pendengar tempatan.

Bagaimanapun ia bukan sekadar hiburan semata-mata, malah juga merupakan medium dalam mempromosikan aktiviti masyarakat seperti aktiviti kebudayaan, perayaan dan juga isu tempatan dan luar negeri.

Selain itu, tiga orang penyampai Suria FM iaitu DJ Othoe, Lotter (Dudu ) dan Velvet AF dipertanggungjawabkan mengalas tugas tersebut di sana.

Ketiga-tiga penyampai ini dipilih berdasarkan keupayaan dan bakat yang mereka ada sebagai penyampai radio yang mampu menghiburkan sekali gus menarik lebih ramai pendengar.

Sementara itu, satu konsert besar-besaran telah di adakan di Boulavard Lane 1 Borneo Hypermall pada 5 Mac lalu bermula seawal jam 8 malam hingga 2 pagi sempena meraikan pendengar Suria FM di Sabah.

Konsert tersebut di hiburkan oleh 10 orang artis iaitu Amy Search, Hattan Stacy, Adam, Adira, The Divine Master, Abu Bakar Elah, Jimmy Palikat dan Peter Dickie Lee.

Selain majlis perasmian radio Suria FM di Sabah dan konsertnya, tidak dilupakan juga pelbagai aktiviti lain yang dianjurkan oleh Suria FM buat pendengar setianya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain