suria

Selepas Lama Menghilang, Pretty Ugly Takut Hilang Peminat

Pretty Ugly melancarkan album Darabkan Sejuta di Redbox, Sogo, Kuala Lumpur, Rabu. - Foto LOW LAY PHON
Pretty Ugly melancarkan album Darabkan Sejuta di Redbox, Sogo, Kuala Lumpur, Rabu. - Foto LOW LAY PHON
Pretty Ugly melancarkan album Darabkan Sejuta di Redbox, Sogo, Kuala Lumpur, Rabu. - Foto LOW LAY PHON

KUALA LUMPUR: Kumpulan Pretty Ugly yang pernah popular menerusi lagu Diari Seorang Lelaki mengakui bimbang kehilangan peminat kerana kehadiran mereka seperti ‘tenggelam timbul’ dalam industri muzik tempatan.

Bagaimanapun mereka yang dianggotai oleh empat lelaki itu cuba menyiapkan album keempat berjudul Darabkan Sejuta yang baru dilancarkan Rabu.

Dikenali dengan nama Neves atau nama sebenarnya Raizan Zainal Abidin sebagai vokalis, Pretty Ugly turut disertai oleh Ikhwan Ajwad Rawyani (Juad/ bass), Mohammad Raziz Zainal Abidin (J/ gitar utama) dan Nik Muhammad Histami Nik Mohammad Din (Neti ‘O’/ drum).

“Kami bukannya sengaja melambatkan proses pembikinan album ini tetapi kerana perjalanan rakaman album ini terpaksa memakan masa tiga hingga empat tahun.

“Jadi, kami cuba keluar dari kepompong dan berharap pihak media membantu kami menaikkan semula nama Pretty Ugly,” kata Neves dalam satu sidang media.

Katanya, para peminat boleh menghubungi Pretty Ugly menerusi laman sesawang Facebook dengan menaip Pretty Ugly/ band atau layari laman sesawang rasmi kumpulan tersebut di www.prettyugly/band.com.

“Bagi mempromosikan album ini, kami akan mengadakan persembahan jelajah di beberapa negeri seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Johor.

“Sebelum itu, kami akan menjayakan sebuah persembahan di Sungai Buloh, Selangor yang dijadualkan pada hujung Mac ini.

“Kami juga sedang merangka sebuah konsert melibatkan band-band lain pada masa yang akan ditetapkan kemudian,” ujarnya lagi.

Menyentuh tentang album genre rock moden tersebut, Neves berani menjangkakan lagu Bunuh Kisah Lalumu dan Darabkan Sejuta bakal menjadi lagu popular di kalangan peminat setelah album tersebut dijual di pasaran sejak 25 Disember tahun lalu.

Lagu-lagu baru yang terkandung dalam album tersebut adalah Kelab Jiwa Muzik, Itu Bukan Aku, Takut Aku Kalah, Bunuh Kisah Lalumu, Di Awan Biru, Adihero, Darabkan Sejuta dan Club Jiwa Muzik (remix).

Semua lagu tersebut dicipta oleh Pretty Ugly sendiri.

Pretty Ugly turut membikin klip video lagu-lagu terbaru itu sebagai strategi untuk memancing peminat.

Kali terakhir Pretty Ugly muncul dengan album baru berjudul Rockaloic pada tahun 2006.

Artikel Berikut

Artikel Lain