suria

Anita Sarawak, Noryn Aziz Hiburkan Setiausaha April Depan

Anita Sarawak dan Noryn Aziz. foto TheSTar M.Rajan
Anita Sarawak dan Noryn Aziz. foto TheSTar M.Rajan
Anita Sarawak dan Noryn Aziz. foto TheSTar M.Rajan

PETALING JAYA: Gandingan mantap dua penyanyi hebat, Anita Sarawak serta Noryn Aziz bakal menghangatkan Divas Las Vegas Minggu Setiausaha anjuran Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 6 April depan.

Bertemakan ala glamor, persembahan Anita atau lebih selesa dengan panggilan Kak Nita dan Noryn pastinya akan menghangatkan majlis tersebut ditambah pula dengan gelagat spontan pengacara jemputan Zizan (Raja LAwak) dan Juliana Evans.

Menurut Kak Nita, dia gembira apabila SACC menawarkannya berkolaborasi dengan Noryn untuk menghiburkan lebih kurang 1,500 tetamu yang bakal hadir.

"Memang saya teruja dengan persembahan di sini kerana inilah kali pertama saya diberi peluang untuk menghiburkan para setiausaha di Shah Alam.

"Setakat ini, saya merancang untuk mereka pakaian khas bersama pereka fesyen saya, Ashley Wong dari Kapas. Pada persembahan nanti saya tidak mahu membuang masa hanya untuk bertukar pakaian. Justeru itu saya mahukan pakaian yang mudah untuk ditukar ganti.

"Dalam pada itu, saya harap tetamu yang hadir turut serta mengikut tema dengan berpakaian glamor," katanya pada sidang akhbar tersebut, Selasa.

Tambah Kak Nita, dia akan menghiburkan tetamu yang hadir dengan persembahan menerusi lagu-lagu rancak popularnya seperti Seksis , Akhirnya Kini Pasti dan Kalau Engkau Berkalau.

Kata Noryn pula, walaupun dapat menjayakan majlis tersebut bersama Kak Nita, dia sedikit kecewa kerana tidak berkesempatan untuk bernyanyi bersama penyanyi tersohor itu.

"Bukannya tak nak, tetapi disebabkan kami menggunakan minus one, sukar untuk saya dan kak Nita mendapatkan key suara mengikut lagu yang sedia ada. Melainkan jika menggunakan khidmat pemuzik band, kami pasti akan berduet bersama," ujar Noryn.

Selain dapat menyaksikan persembahan hebat Kak Nita dan Noryn, tetamu yang hadir bakal berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah seperti barangan kemas, set perabut mewah dan cenderahati menarik bernilai RM100,000 termasuklah hadiah pakaian terbaik.

Tiket berharga RM550, RM490 dan RM420 setiap orang boleh ditempah menerusi talian 03-5518858, 03-55118814 atau 019-3053858 (Rawi). Tempahan juga boleh dibuat terus di Ticket Charge Hotline di talian 03-92228811 atau layari laman web rasmi Ticket Charge www.ticketcharge.com.my.

Artikel Berikut

Artikel Lain