suria

Dejay Lin Tolak Persepsi 'Deejay Kampung'

Dj Lin
Dj Lin
Dj Lin

PETALING JAYA:Pemenang Penyampai Radio Wanita Terbaik Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2011, Roslinda Abdul Majid atau dikenali sebagai deejay Lin mempersoalkan pendapat segelintir pihak yang mempersendakan kemenangannya selain melabelkan dia sebagai kemenangan seorang 'deejay kampung'.

Persepsi itu timbul apabila deejay Suria FM itu dilihat tidak berada sebaris dengan nama-nama penyampai radio lain yang lebih popular.

Lin berkata, kemenangan itu dinilai oleh juri yang profesional dalam bidang tersebut dan tidak timbul isu kampung atau tidak.

“Bagi saya anugerah ini adalah anugerah paling berprestij berbanding anugerah lain kerana ia dinilai oleh orang-orang yang pakar dalam bidang tersebut.

“Semua yang di calon merupakan yang telah dinilai 100 peratus melalui bakat dan hasil kerja mereka,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Tambah Lin tanggapan "deejay kampung" tersebut mungkin timbul berikutan tiada nama-nama penyampai popular yang tersenarai menerusi kategori berkenaan dalam anugerah itu.

“Mungkin kerana tiada nama-nama yang biasa mereka dengar tersenarai dalam pencalonan tersebut. Namun bagi saya ia adalah sangat subjektif untuk menilai sesebuah bakat,” ujarnya.

Katanya, setiap anugerah yang dianjurkan mempunyai misi dan matlamat tersendiri. Biarpun tidak sepopular penyampai lain, Lin menganggap dua kemenangan tersebut pengiktirafan yang sangat bermakna buatnya.

“Saya bekerja bukan kerana mengejar popularit, pertama kali melangkah dalam dunia penyiaran hanya berpandukan minat semata-mata.

“Disebabkan itu juga saya akan buat yang terbaik dalam bidang ini,” ujarnya.

Deejay Lin sebelum pernah memenangi Program Interaktif Radio Terbaik bagi program Citra Cinta, Radio Red 104 pada tahun 2005 pada ASA 2005.

Suria FM turut memenangi Program Interaktif Radio Terbaik ASA 2011.

Artikel Berikut

Artikel Lain