suria

Kualiti Peserta Uji Bakat 'Imam Muda 2' Meningkat

Para peserta uji bakat Imam Muda musim kedua di Kota Baru datang mendaftar seawal pukul 8 pagi. - Foto Astro
Para peserta uji bakat Imam Muda musim kedua di Kota Baru datang mendaftar seawal pukul 8 pagi. - Foto Astro
Para peserta uji bakat Imam Muda musim kedua di Kota Baru datang mendaftar seawal pukul 8 pagi. - Foto Astro

KUALA LUMPUR: Uji bakat Imam Muda musim kedua (IM2) bukan sahaja mendapat sambutan menggalakkan malah kualiti peserta juga meningkat.

Bermula dengan uji bakat di Johor Baru pada 22 dan 23 Januari lalu, pencarian Imam Muda telah berlangsung di Kota Baru pada 28 dan 29 Januari lepas.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar IM2 mencatatkan sejarah yang tersendiri dengan membuka penyertaan pihak luar.

“Berbeza dengan uji bakat di Johor Baru baru-baru ini yang telah mendapat penyertaan dari Singapura dan Indonesia, ramai yang berpusu-pusu ke tempat uji bakat di Kota Baru seawal 8 pagi pada kedua-dua hari.

“Kami juga amat kagum melihat peningkatan dari segi kualiti peserta yang menghadirkan diri ke sesi temu duga kali ini. Jika tahun lalu, ramai peserta yang tidak begitu pasti dengan konsep rancangan Imam Muda tetapi kali ini ternyata mereka sudah mendapat pendedahan menerusi pemerhatian daripada rancangan ini pada musim lalu.

“Secara tidak langsung, ini membantu pihak Astro untuk memilih peserta terbaik untuk musim kedua ini,” katanya.

Menceritakan tentang pengalaman kali pertama menghadiri sesi temu duga Imam Muda, Mohd Shahril Mat Rani, 25, berasal dari Bachok berkata: “Hasrat menyertai Imam Muda memang telah tertanam sejak musim pertama lagi sewaktu masih menuntut di Universiti Kuwait.

“Ketika itu, saya dan komuniti Malaysia di sana hanya menonton rancangan itu menerusi laman facebook Imam Muda dan Youtube. Sekembalinya saya ke tanah air, keluarga amat menyokong saya untuk turut serta dalam sesi temu duga Imam Muda kali ini yang kebetulan diadakan di Kelantan”.

Bagi mewujudkan perubahan untuk musim ini, pihak Astro membuka peluang kepada Muslimin dari seluruh dunia untuk datang ke uji bakat IM2.

Bagi memartabatkan lagi penggunaan Bahasa Melayu, calon antarabangsa yang berminat mestilah berkebolehan untuk bertutur dalam bahasa Melayu sebagai syarat utama menyertai IM2 ini.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi pelapis dan penyambung warisan serta memikul tanggungjawab sebenar sebagai seorang imam, dijemput hadir ke sesi temu duga seterusnya. Pendaftaran dibuka dari pukul 8.00 pagi sehingga 4.00 petang.

11 –12 Februari 2011: Masjid Zaher, Alor Setar, Kedah. 19 – 20 Februari 2011: Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, Pahang. 26 – 27 Februari 2011: Wisma MUIS, Kota Kinabalu, Sabah. 05- 06 Mac 2011: Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur.

19 – 20 Februari 2011: Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, Pahang.

26 – 27 Februari 2011: Wisma MUIS, Kota Kinabalu, Sabah.

Kriteria masih lagi seperti musim lepas iaitu lelaki beragama Islam yang fasih berbahasa Melayu dan boleh menguasai lebih dari satu bahasa di samping berusia di antara 18 hingga 27 tahun serta sihat tubuh badan.

Bagi yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar berukuran 4R di samping boleh membaca Surah Al-Fatihah serta surah-surah lazim dan mempunyai pengetahuan mendalam dalam agama Islam dan hal ehwal semasa.

Siri pencarian Imam Muda musim kedua bakal bersiaran di saluran rasmi, Astro Oasis bermula 1 April 2011.

Artikel Sebelum

Artikel Lain