suria

Beli Sebotol Air Untuk Konsert Siti Nurhaliza

- Foto THE STAR Oleh AZMAN GHANI
- Foto THE STAR Oleh AZMAN GHANI
- Foto THE STAR Oleh AZMAN GHANI

PENYANYI, Datuk Siti Nurhaliza (gambar) bakal membuat persembahan selama dua jam di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 25 September ini bersempena dengan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri.

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun.

Para peminat hanya perlu membeli sebotol air mineral berharga RM1 yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk menyaksikan konsert tersebut.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika membuat pengumuman mengenai persembahan itu berkata, pembelian air mineral itu adalah bertujuan untuk membantu kerajaan negeri merekodkan jumlah mereka yang hadir pada konsert tersebut.

“Hakikatnya konsert itu adalah percuma,” kata Guan Eng kepada para pemberita, Isnin.

Sehubungan itu, Guan Eng menjangkakan ribuan peminat Siti akan membanjiri stadium berkapasiti kira-kira 12,000 penonton di Lorong Kulit, Georgetown itu bagi menyaksikan konsert itu.

Katanya, persembahan yang dijangka bermula pada pukul 8 malam itu turut mempersembahkan tarian kebudayaan dan dijangka dihadiri oleh Yang di-Pertuan Negeri, Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

“Memandangkan tahun ini, negara kita menyambut pembentukan Malaysia dalam bentuk cuti umum, Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menjadikan program ini sebagai sesuatu yang akan dikenang oleh rakyat negeri ini dan sesuatu yang menggembirakan,” katanya.

Adalah difahamkan, Siti Nurhaliza bersetuju untuk membuat persembahan tersebut.

Pengarah Urusan Penang Global Tourism, Ooi Geok Ling yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa perancangan konsert itu berkata, urusan teknikal berhubung konsert itu masih lagi di peringkat perbincangan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aril Beli Baju Raya Di Jakarta

Artikel Lain