suria

JAMM 2010 Promosi Album, Single Tak Laku

Artis-artis yang menjayakan konsert JAMM 2010, Sabtu lalu. - Foto THE STAR Oleh AZHAR MAHFOF
Artis-artis yang menjayakan konsert JAMM 2010, Sabtu lalu. - Foto THE STAR Oleh AZHAR MAHFOF
Artis-artis yang menjayakan konsert JAMM 2010, Sabtu lalu. - Foto THE STAR Oleh AZHAR MAHFOF

KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 artis berkumpul dalam konsert JAMM 2010 di bar Glassy Heritage Row, Jalan Doraisamy di sini pada 30 Julai lalu untuk mempromosikan single dan album mereka yang kurang laku di pasaran selain membuat persembahan.

Penganjur JAMM 2010 tersebut, Shafizah Sharif berkata, pihaknya ingin mengumpulkan artis solo serta lapan kumpulan indie pada satu platform untuk memperkenalkan bakat mereka kepada media dan orang ramai.

Dia yang lebih dikenali sebagai Cikgu Shafi berkata, dia mendapati ramai penyanyi tidak dapat menonjolkan bakat mereka ekoran tiada publisiti serta sokongan stesen radio.

"Cikgu mengajar vokal dan mendapati sesetengah pelajar memang berpotensi dalam vokal. Ada yang telah mempunyai single tetapi stesen radio tidak putarkan lagu mereka. Ada penyanyi ini yang bergerak solo dan berkumpulan. Ada pula yang tidak dikenali tetapi berbakat besar," katanya kepada MStar Online.

Sehubungan itu, Cikgu Shafi yang juga bekas pensyarah vokal Akademi Fantasia musim ke-4, 5, 6 dan 7 berharap perhimpunan itu dapat mengumpulkan mereka yang berpotensi untuk diketengahkan di industri seni.

Katanya, antaranya yang hadir termasuk Rubisa AF6, Shidi AF7, Nadia AF6 dan Shahroul AF4 serta kumpulan Afibity yang menjuarai pertandingan Twisties Bingit anjuran TV3, Butterfly dan Maheswari.

Cikgu Shafi berharap perhimpunan sedemikian dapat memberikan impak kepada kerjaya seni mereka.

Sementara itu, Shahroul AF4, 25, yang hanya berjaya ke peringkat ‘prelude' dalam rancangan realiti tersebut berkata, dia kecewa kerana albumnya, Cuma Satu kurang mendapat sambutan walaupun pernah mempromosikannya ke negeri lain seperti Kuantan, dan Terengganu.

"JAMM 2010 memberikan peluang kepada saya untuk mempamerkan bakat nyanyian saya," katanya yang mendapat sokongan dan tajaan daripada famili.

Album Cuma Satu yang dikeluarkan pada Julai tahun lalu menampilkan sembilan lagu baru termasuk satu lagu minus one. Antaranya, lagu Usah Sesali dan Cinta Luhur hasil karya Hazami sepenuhnya.

Seorang peserta AF lagi, iaitu Rubisa AF7 atau nama sebenar, Rubisa Tiasin memberitahu, dia telah mengeluarkan dua single iaitu Jangan Bilang Siapa-Siapa dan Ratu Penipu.

"Cuma saya kecewa kerana single tersebut tidak ada peluang untuk dimainkan oleh stesen," katanya.

Dalam pada itu, model dan penyanyi, Santhawan Boonratana yang turut hadir ke JAMM 2010 percaya ia merupakan platform terbaik untuk artis kurang dikenali memperkenalkan karya masing-masing.

Dia memperkenalkan single Sejak Kau Ada di JAMM 2010 setelah mendapat galakan daripada kawannya.

Lain-lain artis yang memperkenalkan single mahupun album mereka termasuk Iki Putra dengan albumnya, Aku Dan Dirimu; Wiwie Daunah (Bilang Hanya Satu) serta kumpulan Maheswari dari Indonesia serta Avidity yang merupakan juara musim kedua pertandingan kugiran, Twisties Bingit.

Artikel Lain