suria

Altimet Tampil Lagu Rakyat Versi Hip Hop

Altimet ketengahkan lagu rakyat dalam lirik lagunya. Foto THESTAR Oleh MOHAMMAD IZZAT.
Altimet ketengahkan lagu rakyat dalam lirik lagunya. Foto THESTAR Oleh MOHAMMAD IZZAT.
Altimet ketengahkan lagu rakyat dalam lirik lagunya. Foto THESTAR Oleh MOHAMMAD IZZAT.

GELOMBANG muzik yang sering bertukar rentak dan genre membuktikan aliran budaya popular ini sentiasa hidup berkembang.

Kemunculan kumpulan-kumpulan indie atau indipendent band yang mempertaruhkan pelbagai genre muzik juga semakin mendapat sambutan di kalangan peminat muzik.

Jika mahu dihitung nama-nama baru yang muncul daripada kumpulan indie, begitu ramai yang perlu dibariskan kerana penerimaan muzik yang dibawa mereka mendapat sambutan yang hangat daripada peminat.

Dalam kerancakan itu, mungkin ramai yang tidak sedar akan kemunculan Altimet berbanding lagunya yang menjadi kegilaan ramai.

Tetapi jika menyebut sahaja lagu yang berjudul Cantik pasti ramai yang tahu dan boleh menyanyikan lagu tersebut.

Pemilik nama Ahmad Alhadad ketika ditemui mStar Online, mengakui peminat lagu tersebut lebih mengenali lirik dan lagunya berbanding dirinya sebagai penyanyi dan penulis lirik untuk lagu tersebut.

Selain itu, jejaka yang berasal dari Kuala Lumpur ini memberitahu, lagu hip hop yang didendangkannya juga banyak mengetengahkan lagu rakyat yang diadaptasikan kepada bentuk hip hop supaya dapat menyeragamkan muziknya itu dengan budaya masyarakat negara kita.

"Lagu saya lebih dekat dengan gaya hidup masyarakat kita dan terdapat unsur-unsur cinta kerana perkara itu amat diminati semua orang," ujarnya yang pernah menjadi pengurus kumpulan Ahli Fiqir selama dua tahun.

Bagaimanapun, lagu-lagu yang diketengahkan oleh Altimet ini dikatakan mempunyai unsur dakwah selain membawa pendengar menghayati muzik berentak hip hop.

"Saya bukannya mahu berdakwah dalam sesebuah lagu, tetapi lagu saya secara tidak sedar terdapat unsur nasihat contohnya lagu Cantik dan terbaru Syukur.

"Dalam lagu Cantik itu, saya akui turut memasukan sunnah nabi apabila kita mencari jodoh supaya tidak hanya berdasarkan kepada kecantikan yang dimiliki seseorang wanita," katanya.

Manakala bagi albumnya yang keduanya 'Jian', Altimet memberitahu kesemua lagu di dalam albumnya itu turut menerima sentuhan lirik daripadanya sendiri.

Walaupun menafikan berdakwah di dalam lagu-lagunya, Altimet memberitahu dia sebenarnya ingin membawa pendengar kepada perkara-perkara yang menjurus ke arah kebaikan kerana terdapat segelintir pihak yang menganggap lagu hip hop mengandungi unsur-unsur tidak baik.

Selain itu, lirik lagu yang dihasilkanya turut mengadaptasikan kisah kehidupan masyarakat di ibu kota sebagai jalan cerita dalam lagu-lagunya.

Sementara itu, dia yang teruja dengan penjualan album keduanya yang telah habis dijual selepas lebih kurang dua bulan dipasarkan memberitahu, album tersebut turut mengandungi tujuh buah lagu dan kini dalam proses untuk dicetak semula.

"Saya bangga dengan penerimaan lagu-lagu tersebut dan tidak menyangka masih ramai peminat yang membeli album saya itu.

"Lagu hip hop ini sebenarnya dikategorikan sebagai muzik pop kerana banyak menggabungkan rentak muzik lain," katanya yang pernah menganggotai kumpulan Teh Tarik Crew.

Antara individu yang terlibat sebagai komposer untuk lagu-lagunya terdiri daripada Terry Lee, Shahid dan Norazah.

Dalam perkembangan lain, Altimet memberitahu, dia bakal keluar dengan album ketiga yang menjanjikan kejutan buat peminat.

Artikel Berikut

Artikel Lain