suria

'Tidak mungkin kami rujuk semula' - Rossa

Rossa yang popular dengan lagu Hey Ladies, Ayat-Ayat Cinta dan Atas Nama Cinta ini sudah pun membuka episod baru dalam hidupnya.-Foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
Rossa yang popular dengan lagu Hey Ladies, Ayat-Ayat Cinta dan Atas Nama Cinta ini sudah pun membuka episod baru dalam hidupnya.-Foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
Rossa yang popular dengan lagu Hey Ladies, Ayat-Ayat Cinta dan Atas Nama Cinta ini sudah pun membuka episod baru dalam hidupnya.-Foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT

KELETAH cerianya tidak langsung menggambarkan dirinya masih lagi berduka akibat perceraiannya dengan pemain dram kumpulan Padi, Yoyo kira-kira empat bulan lalu.

Sambil tersenyum manja, Sri Rossa Roslaina Handiyani atau mesra dengan panggilan Rossa ini enggan lagi membicarakan tentang kisah lama. Akui penyanyi yang popular dengan lagu Hey Ladies, Ayat-Ayat Cinta dan Atas Nama Cinta ini, dia sudah pun membuka episod baru dalam hidupnya.

Melayari kehidupan sebagai ibu kepada Muhammad Rizky Langit Ramadhan, 3, kata Rossa, perpisahan dengan bekas suaminya itu bukan bermaksud berakhir segala-galanya.

Malah, dia bersyukur kerana hubungannya dengan Yoyo masih lagi baik dan lelaki itu tidak pernah melupakan tanggungjawab sebagai seorang bapa.

Namun begitu, 'kemesraan' yang masih terjalin antara dirinya dan Yoyo tidak pernah dilihat oleh Rossa seperti 'petanda' mereka mungkin ditakdirkan untuk rujuk semula.

Bukan tidak mempercayai takdir tuhan, namun ujar penyanyi berusia 31 tahun ini, hati dia tidak terdetik untuk berbuat demikian.

"Tentang hal ini, saya tidak boleh cakap lebih-lebih kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku kelak. Tetapi sejujurnya di dalam hati, saya rasa tidak mungkin kami rujuk semula.

"Cuma apa yang pasti, saya cukup gembira kerana hubungan saya dan Yoyo masih baik. Walaupun Rizky berada di bawah jagaan saya, Yoyo bebas berjumpa dengannya bila-bila masa saja," katanya ringkas dalam satu pertemuan sempena kunjungannya di Kuala Lumpur, semalam, bersempena dengan kempen Enjoy Jakarta.

Ditanya tidakkah dia berasa sunyi tanpa kehadiran insan bergelar suami di dalam hidupnya, kata penyanyi yang berasal dari Sumedang, Indonesia ini, dia tidak menafikan adakalanya perasaan itu timbul dalam dirinya.

Namun buat masa ini, dia masih belum menemui 'pengganti' yang sesuai.

"Sudah tentu saya akan berasa sunyi. Tetapi dengan jadual kerja yang padat, ia banyak membantu saya melupakan perkara seperti itu.

"Apapun, saya menerima jodoh dengan sesiapa saja, cuma apa yang saya harapkan, biarlah kali ini lebih baik berbanding sebelumnya.

"Dia perlu ada didikan agama yang baik dan mampu menyayangi anak saya juga," kata Rossa yang turut menafikan khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan vokalis kumpulan Ungu, Pasha.

Rossa turut ditanya pendapatnya mengenai rakan baiknya, Krisdayanti (KD) yang turut mengalami 'nasib' yang sama kerana baru melalui proses perceraian dengan bekas suaminya, Anang.

"Saya memang amat sedih kerana KD juga mengalami apa yang pernah berlaku pada saya. Tetapi saya lihat dia adalah seorang wanita yang kental.

"Kami sering juga bertemu sebelum ini dan kali terakhir adalah ketika majlis ulangtahun ibunya pada 10 Oktober lalu yang mana kebetulan pula hari lahir saya adalah sehari sebelumnya," ujar Rossa.

Ganti tempat KD sebagai Duta Enjoy Jakarta

Kira-kira empat tahun lalu, KD dipilih oleh Jakarta City Government Tourism & Culture Office (JTCO) untuk menggalas peranan sebagai duta mempromosikan Jakarta menerusi kempen 'Enjoy Jakarta' di Malaysia.

Kali ini, Rossa pula menjadi pilihan JTCO apabila dilantik sebagai duta Enjoy Jakarta sekaligus dilihat seperti 'menepis' diva tersohor Indonesia itu.

Rossa bagaimanapun merasakan tidak sepatutnya timbul tanggapan seperti itu kerana dia memikul tanggungjawab itu kerana ingin 'membalas jasa' Jakarta yang banyak membantu mencapai cita-citanya selama ini.

"Saya belum sempat bercakap tentang pelantikan saya ini kepada dia (KD). Tetapi bagi saya, ini adalah satu kepercayaan besar yang diberikan oleh JTCO kepada saya selepas KD.

"Ini bukan soal bayaran, tetapi lebih kepada apa yang mampu saya lakukan untuk membantu pelancongan di Jakarta. Saya berasal dari luar Jakarta, tetapi hampir semua cita-cita saya tercapai di Jakarta.

"Inilah masa untuk saya membalas jasa dan saya akan lakukan yang terbaik sebagai duta Enjoy Jakarta ini. Memang program ini memerlukan komitmen yang tinggi, tetapi bagi saya, ini adalah bukti cinta saya pada Jakarta," katanya yang dilantik baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengarah Perhubungan Awam JTCO, Cucu Kurnia berkata, pihaknya menafikan wujudnya masalah dengan KD sehingga membuatkan JTCO memilih duta yang baru.

"Kita hanya menandatangani kontrak bersama KD selama setahun dan kontraknya tamat pada awal 2006. Selepas itu, kita tidak lagi melantik mana-mana duta baru sehinggalah pada awal tahun ini.

"Keputusan untuk memilih Rossa sebagai ikon kempen kami dibuat kerana merasakan dia adalah salah seorang artis Indonesia yang popular dan berbakat besar ketika ini. "Kita tidak ada pelantikan secara rasmi dengannya, tetapi kita akan lihat komitmen Rossa untuk kempen ini dan tidak mustahil untuk memanjangkan tempoh kontraknya," ujarnya.

Timbalan Pengarah Eksekutif JTCO, Tinia Budiati pula menambah, Rossa dipilih sebagai duta kempen berdasarkan popularitinya di Malaysia serta sikapnya yang melambangkan ciri-ciri seorang warga Indonesia sejati.

"Memandangkan kempen ini disasarkan di Malaysia, jadi kami merasakan Rossa memang memenuhi kriteria itu kerana dia juga popular di sini (Malaysia). Populariti memang tidak dinafikan turut menjadi peranan penting dalam pemilihan ini.

"Selain itu, kami lihat Rossa juga telah mencerminkan keperibadian Indonesia. Cara pemakaiannya serta lagu-lagu nyanyiannya juga sangat 'Indonesia'. Jadi, bagi kami, pemilihan Rossa memang tepat," ujarnya.

Menerusi kempen Enjoy Jakarta ini, JTCO bersama dengan Explorer Tourism Network (ETN) menganjurkan peraduan 'Fly with Rossa to Jakarta' bagi mempromosikan negarai itu, yang mana seorang peminat bertuah di Malaysia akan memenangi dua tiket penerbangan pergi balik bagi kelas bisnes KLM Royal Dutch Airlines dengan ditemani oleh Rossa untuk bercuti bersama penyanyi itu di Jakarta selama 3 hari 2 malam bermula hari ini (4 November).

Pemenang yang bertuah menerusi pertandingan yang dianjurkan di laman web ETN itu adalah Aniza Abd Razak yang turut memenangi penginapan tiga hari dua malam di hotel bertaraf lima bintang, baucer beli-belah bernilai USD300 (RM1000) dan jemputan menyaksikan 'showcase' Enjoy Jakarta Evening oleh Rossa di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur yang berlangsung semalam.

Pada 'showcase' tertutup yang hanya dihadiri oleh media dan agensi-agensi pelancongan Malaysia, Rossa mendendangkan kira-kira tujuh buah lagu antaranya Hey Ladies, Pudar, Hati Yang Kau Sakiti, Takdir Cinta dan Ayat-Ayat Cinta.

Ditanya adakah dia berasa tertekan untuk menggalas tanggungjawab sebagai duta kempen tersebut apatah lagi dengan kekeruhan hubungan antara Malaysia dan Indonesia ketika ini, kata Rossa:

"Sejujurnya, saya memang cukup sedih dengan perkara ini. Tetapi saya yakin, kedua-dua negara telah mengambil inisiatif memulihkan keadaan dan kembali berdamai kerana kita adalah satu rumpun.

"Dan saya juga perlu memainkan peranan untuk menunjukkan imej sebenar Jakarta. Saya akui, masih banyak yang perlu saya dalami tentang Jakarta supaya saya dapat mempromosikannya dengan lebih baik.

"Banyak aspek tentang Jakarta yang ingin saya berkongsi dengan rakyat di Malaysia sama ada dari segi budaya dan pelancongan di sana.

"Banyak juga tempat-tempat menarik di sana yang masih ramai pelancong belum tahu," katanya yang begitu teruja untuk membawa peminat bertuahnya dari Malaysia untuk bercuti bersamanya di Jakarta bermula hari ini.

Sementara itu, Cucu Kurnia turut menambah, ketegangan yang berlaku di antara dua buah negara ini baru-baru ini diakui ada 'menjejaskan' sedikit kadar pelancong dari Malaysia ke sana.

Namun begitu, perkara tersebut telah kembali pulih apabila bilangan pelancong dari Malaysia ke Jakarta adalah yang tertinggi setakat ini berbanding negara-negara yang lain.

"Kempen ini kami lakukan bukan saja untuk mempromosikan Jakarta, tetapi untuk menjernihkan kembali imej Indonesia secara keseluruhannya. Lupakan saja konflik yang melanda dan kita perlu jalinkan semula hubungan dua hala yang baik.

"Lagipun, apa yang diperkatakan tidak seteruk yang disangka kerana ia lebih banyak dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu," katanya yang menambah, JTCO turut menawarkan pakej percutian di Jakarta pada kadar yang berpatutan, hasil kerjasama dengan agensi pelancongan seperti ETN, syarikat-syarikat penerbangan seperti KLM dan hotel-hotel.

Katanya lagi, Enjoy Jakarta juga akan melakukan promosi yang sama di beberapa buah negara lain, tetapi menggunakan pendekatan yang berbeza.

Artikel Berikut

Aditya: Ada sebab kita di sini!

Artikel Lain