suria

Bachchan diugut kerana melawat dua tempat beribadat

PELAKON veteran Amitabh Bachchan telah menerima ugutan melalui SMS kerana melawat sebuah kuil dan masjid yang terletak di Dargah, India.

Amitabh yang selalu menulis rutin hariannya dalam blog, pernah menyatakan yang dia pernah melawat Masjid Haji Ali Dargah dan juga sebuah kuil yang bernama Siddhivinayak pada hari Khamis yang lalu.

“Saya diugut kerana melawat sebuah masjid dan sebuah kuil. Sumber yang tidak dikenali itu juga mengutuk perbuatan saya ini melalui telefon bimbit,” kata pelakon itu.

Tetapi Amitabh tidak berasa terancam dengan ugutan tersebut.

“Kita tinggal dalam negara yang menghormati penganut agama yang lain.

“Kepercayaan saya adalah hak peribadi saya. Pihak kuil atau masjid berkenaan tidak pernah menghalang saya dan itu juga merupakan hak saya yang memang termaktub dalam perlembagaan,” jelas Amitabh.

Beliau juga menambah yang tiada siapa pun boleh menafikan haknya sebagai warganegara India.

Amitabh turut mencabar orang yang menghantar mesej tersebut dan berkata yang beliau akan mengulangi perbuatannya.

“Saya akan melihat apa yang boleh dilakukan oleh orang yang menghantar mesej itu,” ujar pelakon itu lagi.

Penghantar SMS itu juga mendakwa yang filem terbaru yang dibintangi oleh pelakon itu, berjudul ‘Aladin’ tidak akan berjaya kerana tindakan Amitabh itu.

”Jika filem itu bagus, tiada kuasa dalam dunia ini yang boleh menghalang filem itu dari mencapai tahap box office,” kata pelakon itu lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain