suria

Anjing peliharaan Gaga selamat dipulangkan, seorang wanita tampil serah kepada polis

Dua ekor anjing peliharaan Lady Gaga telah selamat dikembalikan kepada wakil penyanyi tersebut.

DUA ekor anjing baka French bulldog milik penyanyi Lady Gaga akhirnya berjaya ditemui selepas ia diserahkan kepada pihak polis pada Jumaat.

Kedua-dua anjing berkenaan, Koji dan Gustav kini sudah dikembalikan kepada wakil penyanyi tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Wang besar menanti! Lady Gaga tawar habuan RM2.03 juta jika anjing berjaya ditemui

Maklumat lanjut mengenai bagaimana anjing itu ditemui tidak dijelaskan pihak polis namum memetik Associated Press, seorang wanita dipercayai menyerahkan kedua-dua anjing itu ke Balai Polis Olympic Community, Los Angeles dan wakil Gaga mengesahkan ia adalah milik Gaga.

Gaga atau nama sebenarnya, Stefani Germanotta, 35, sebelum ini menawarkan ganjaran sebanyak AS$500,000 (RM2.03 juta) kepada mana-mana pihak yang menjumpai haiwan peliharaannya itu.

Menerusi pemeriksaan pihak polis, wanita yang memulangkan anjing tersebut tidak terlibat dalam insiden tembakan dan penculikan berkenaan.

Walau bagaimanapun, tiada maklumat lanjut sama ada wang ganjaran itu sudah pun dituntut atau diberikan kepada wanita berkenaan.

Malam Rabu lalu, penjaga anjing Gaga, Ryan Fischer cedera selepas dia ditembak oleh dua suspek lelaki yang kemudiannya membawa lari dua anjing kepunyaan Gaga.

Penjaga anjing Gaga, Ryan Fischer kini dalam keadaan stabil selepas ditembak di bahagian dada.

Seekor lagi anjing Gaga, Miss Asia bagaimanapun sempat melarikan diri dan berjaya ditemui polis pada hari sama.

Gaga dalam posting di laman Twitternya, meluahkan rasa terima kasih terhadap Ryan yang sanggup bergadai nyawa demi menjaga keselamatan anjing peliharaannya.

"Saya akan terus menyanjung awak Ryan sebab awak sanggup risikokan nyawa sendiri demi menyelamatkan anjing saya. Awak adalah hero sebenar," tulis Gaga.

Ryan masih lagi mendapatkan rawatan di hospital dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketika insiden itu berlaku, Gaga berada di Rom, Itali bagi menjalani penggambaran filem terbaharunya, Gucci. - BBC

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain