suria

Sikap perkauman di Amerika, Angelina Jolie bimbang tidak dapat lindungi anak angkatnya berketurunan Afrika

Pelakon Angelina Jolie meluahkan rasa takut tidak dapat melindungi anak angkatnya yang berketurunan Afrika.

AKTRES terkenal antarabangsa Angelina Jolie meluahkan rasa kagum terhadap anak angkatnya yang berketurunan Afrika iaitu Zahara Jolie-Pitt yang tidak lupa asal usulnya.

Angelina bercerita tentang Zahara yang berusia 15 tahun dalam sebuah temubual berkenaan kekuatan suara kaum Afrika dan Black Lives Matter bersama aktivis iklim Uganda, Vanessa Nakate.

"Anak perempuan saya berasal dari Uganda. Saya banyak belajar daripada dia. Dia keluarga saya, tetapi dia seorang wanita Afrika yang luar biasa.

"Hubungannya dengan negara itu, benua itu adalah miliknya dan ia sesuatu yang buat saya mengaguminya.

"Tapi apa yang saya lihat di buku-buku sejarah Amerika Syarikat (AS) adalah ia mengajar orang kulit hitam tentang kehidupan mereka menerusi gerakan Hak Asasi Manusia... dan perkara itu merupakan sesuatu yang sangat teruk," kata Angelina.

Pelakon filem Maleficent itu turut mengutarakan kerisauan terhadap anaknya yang membesar sebagai seorang wanita berkulit hitam di AS.

"Ada sifat perkauman dan diskriminasi di AS. Sistem yang melindungi saya tapi tidak melindungi anak saya atau mana-mana wanita, lelaki mahupun kanak-kanak berdasarkan warna kulit mereka," ujarnya.

Angelina mengambil Zahara yang berasal dari Etiopia sebagai anak angkat pada tahun 2005, ketika gadis itu baru berusia enam bulan.

Sumber: Hollywoodlife

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Angelina Jolie

Artikel Lain