Jussie Smollet ditahan polis atas dakwaan menipu diserang dua lelaki - Bintang Global | mStar

Jussie Smollet ditahan polis atas dakwaan menipu diserang dua lelaki

Jussie Smollet dikawal ketat oleh pengawal peribadinya selepas membayar wang jaminan AS$100,000.

PELAKON drama bersiri popular Empire, Jussie Smollet ditahan oleh pihak polis dan berhadapan dengan tuduhan jenayah apabila dia didakwa membuat laporan polis palsu berhubung insiden diserang dua lelaki baru-baru ini.

Pihak polis Chicago dalam Twit pada Khamis lalu memberitahu Jussie, 37, kini berada bawah tahanan penyiasat lapor The Hollywood Reporter.

Pada 29 Januari lalu, Jussie mendakwa telah diserang oleh dua orang lelaki yang didakwa telah memukulnya dan mengikat tali ke tengkuknya.

Malah dia turut mendakwa kedua-dua lelaki itu menyimbahnya larutan peluntur pakaian selain mereka mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman dan homofobia.

Jussie Smollet.

Bagaimanapun, polis dalam siasatan mereka memberitahu Jussie mengupah lelaki tersebut yang juga adik-beradik dikenali sebagai Olabinjo Osundairo dan Abimbola Osundairo untuk mereka serangan itu.

Kedua-dua lelaki itu juga dilaporkan telah bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan mereka.

Jika disabitkan kesalahan, Jussie boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun selain membayar kos siasatan kepada Jabatan Polis Chicago.

Pelakon itu bagaimanapun dibebaskan selepas membayar wang jaminan AS$100,000 (RM440,000) dan Jussie dilaporkan sudah kembali ke set penggambaran Empire musim kelima.

Jussie Smollet , Empire

Artikel Sebelum

Lebih Artikel