suria

Karisma Kapoor Tayang Kekasih?

Hingga kini masih tiada pengesahan daripada Karisma mengenai status hubungan mereka.

KHABAR angin semakin bertiup kencang mengenai status hubungan pelakon Karisma Kapoor dengan ahli perniagaan, Sandeep Toshniwal.

Walaupun tiada sebarang pengesahan daripada mereka, namun beberapa foto yang dirakamkan seolah-olah menceritakan sesuatu.

Menurut laporan bollywoodlife.com, paparazi sekali lagi merakamkan gambar Karisma dan Sandeep meninggalkan sebuah majlis.

Terbaharu, adik selebriti Bollywood berkenaan, Kareena Kapoor dan suaminya Saif Ali Khan menganjurkan sebuah parti di kediaman mereka dengan dihadiri keluarga dan kenalan rapat.

Lebih menarik apabila Karisma hadir dengan ditemani Sandeep.

Karisma dan Sandeep menaiki kereta bersama-sama ketika meninggalkan sebuah majlis baru-baru ini.

Kehadiran pasangan itu sekali lagi mengundang tanda tanya di kalangan tetamu yang lain.

Menurut kenalan rapat, Karisma biasanya sangat berahsia mengenai kisah peribadinya.

Namun kelibat mereka sejak kebelakangan ini memberitahu bahawa lelaki tersebut mungkin istimewa baginya.

Sandeep adalah seorang ahli perniagaan yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat farmaseutikal terkemuka di India.
Karisma Kapoor

Artikel Lain