suria

Anak Perempuan Mendiang Paul Walker Saman Porsche

Mendiang Paul Walker dan anak perempuannya Meadow.

ANAK perempuan kepada bintang Hollywood, mendiang Paul Walker telah memfailkan saman ganti rugi ke atas pengeluar kereta Porsche dengan alasan kematian bapanya adalah disebabkan oleh rekabentuk kereta itu.

Menurut kertas mahkamah yang difailkan oleh Meadow Walker, 16, bapanya masih lagi hidup ketika kemalangan yang meragut nyawa bintang itu berlaku pada 2013.

Meadow mendakwa, bagaimanapun oleh kerana kereta Porsche Carrera GT, buatan 2005 itu memiliki kecacatan rekabentuk, ia telah menyumbang kepada kematian bapanya.

Menurut portal berita hiburan TMZ, dalam saman tersebut, Meadow mendakwa ketika kemalangan berlaku, pelakon utama filem Fast & Furious itu masih bernyawa walaupun ia sedang terbakar akibat impak yang kuat.

Apa yang menyebabkan Walker terperangkap ialah, apabila Carrera GT yang dinaikinya itu menghemtam halangan konkrit dan pokok, tali pinggang keselamatannya telah 'mencengkam' badan pelakon itu dengan kuat sehingga mematahkan tulang rusuk dan tulang pelvisnya.

Ini menyebabkan Walker terperangkap dalam kesakitan di dalam kereta itu selama satu minit setengah sebelum ia terbakar. Ketika itu, Walker masih lagi bernyawa.

Walker yang baru berusia 40 tahun, mati terbakar dalam kejadian malang yang berlaku pada 30 November 2013 di Valencia, Santa Clarita, California itu.

Kereta tersebut dipandu oleh rakannya yang juga pemilik kenderaan berkenaan, Roger Rodas. Rodas turut terkorban.

Saman itu mendakwa, yang Porsche sedia maklum bahawa model Carrera GT keluaran mereka itu mempunyai sejarah 'kecacatan kawalan dan juga kestabilan'.

Ia turut mendakwa bahawa saluran minyak yang dipasang di dalam kereta model berkenaan turut menyumbang kepada kebakaran yang berlaku sekaligus meragut nyawa Walker.

Jeff Milam, peguam yang mewakili Meadow, kemudiannya memberitahu TMZ; "Hakikatnya ialah kereta Porsche Carrera GT adalah sebuah kereta yang berbahaya. Ia tidak sepatutnya berada di atas jalan raya dan sebab itu kita kini kehilangan Paul Walker dan kawannya, Roger Rodas."

Sementara itu, dalam perkembangan yang berkaitan, Meadow turut melancarkan sebuah yayasan atas nama bapanya iaitu Yayasan Paul Walker.

Pelancaran yayasan itu dibuat sempena dengan ulang tahun kelahiran bapanya yang ke-42 baru-baru ini.

Sebuah laman web turut dicipta khusus untuk orang ramai mengakses yayasan berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain