suria

Vokal Mariah Carey Bermasalah, Dikritik Peminat

Mariah dikritik hebat oleh peminatnya ekoran gagal menyanyikan lagu bernada tinggi pada konsert jelajah pertamanya di Tokyo, Jepun 4 Oktober lalu.
PEMINAT melahirkan rasa tidak puas hati terhadap konsert penyanyi terkenal Mariah Carey yang diadakan di Tokyo, Jepun pada 4 Oktober lalu.

Huffington Post melaporkan peminat diva itu mendakwa vokal Mariah, 45, berada dalam keadaan teruk dan gagal menyampaikan lagu bernada tinggi yang menjadi kebiasaan penyanyi itu.

Malah video bukti penyanyi itu bergelut ketika mengadakan persembahan di Makuhari Messe Tokyo turut menjadi viral di laman sosial dan menjadi perdebatan hebat peminatnya. 

Ada mendakwa zaman kegemilangan Mariah sudah berakhir dan sebagai legenda dia sepatutnya bersara daripada memalukan diri sendiri dalam sebuah konsert berskala besar.

"Jelas Mariah tidak lagi boleh menyanyi dan konsert pertama itu adalah satu bencana," kata salah seorang peminat yang hadir ke persembahan tersebut.

Mariah sedang dalam siri konsert jelajah dunia iaitu The Elusive Chanteuse Show dan penyanyi bersuara emas itu bakal mengadakan konsert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 22 Oktober ini.

Dalam pada itu, masalah rumah tangga yang sedang dihadapi Mariah dengan suaminya, Nick Cannon turut dikatakan sebagai punca penyanyi itu gagal memberikan persembahan terbaik.

"Jelas kelihatan diwajahnya seperti ada sesuatu yang menggangunya dan mungkin ia disebabkan masalah dihadapi dengan Nick ketika ini," kata salah seorang peminat di laman sosial.

Sementara itu, disebalik kekecohan itu, ramai yang turut mempertahankan diva itu dengan memberitahu masalah dihadapi Mariah bukan sepanjang dua jam konsert berlangsung.

"Mariah telah menyanyi hampir 25 tahun dan sudah tentu pada usianya sekarang ia memberi kesan kepada vokalnya namun secara keseluruhan konsert itu berjaya dan dia masih memukau seperti dahulu.

"Ia juga bukti Mariah menyanyi secara langsung dan bukannya 'miming'," kata seorang peminat lain.

Bagaimanapun, vokal Mariah kembali memukau pada konsert kedua yang diadakan di Yokohama pada malam Isnin dan turut mendapat pujian pengkritik dan peminat.

Artikel Sebelum

Artikel Lain