suria

Yayasan CIMB Akan Didik 8,000 Belia Mengenai Celik Kewangan

NILAI: Yayasan CIMB, melalui program celik kewangan, Be$MART merancang untuk mendidik 8,000 belia di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, yayasan tersebut telah memperuntukkan RM3.5 juta untuk program berkenaan bagi menampung sehingga 4,000 pelajar.

"Matlamat kami ialah untuk mendidik golongan belia berusia antara 18 hingga 25 tahun kerana ia masa terbaik untuk mereka memikirkan kedudukan kewangan sebelum mula bekerja.

"Kami mahu melibatkan seramai mungkin pelajar dan berkongsi celik kewangan dan perancangan kewangan kami dengan mereka," katanya kepada media selepas Program Celik Kewangan Be$mart di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini.

Turut hadir Pro-Canselor USIM, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tunku Muhriz dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin.

Tengku Zafrul berkata, program berkenaan bukan sahaja mendedahkan pelajar kepada celik kewangan, tetapi juga mengenai pelaburan dan bagaimana untuk mengelak skim cepat kaya.

Menurutnya, yayasan tersebut akan ke Sabah bulan depan bagi memperluas kesedaran mengenai celik kewangan kepada golongan belia di sana.

Artikel Lain