suria

Miti Sasar Kelulusan Pelaburan RM31.3 Bilion

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berharap kira-kira 251 projek pengeluaran dan perkhidmatan dengan pelaburan bernilai RM31.3 bilion akan diluluskan pada separuh kedua tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelaburan sehingga pertengahan Jun itu melibatkan RM22.9 bilion projek pengeluaran dan RM8.4 bilion dalam sektor perkhidmatan.

"Kami berharap projek itu akan dimuktamadkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dalam beberapa minggu akan datang dan diluluskan menjelang akhir tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan khas pada Siri Persidangan Affin Hwang Capital 2016.

Mustapa sebelum itu merasmikan persidangan sehari itu yang bertemakan 'Mengemudi Melalui Keadaan Yang Sukar'.

Sementara itu, ketika diminta mengulas laporan baru-baru ini mengenai kemungkinan pemilikan penuh asing ke atas Proton Holdings Bhd, Mustapa berkata ia hanya spekulasi dan DRB-Hicom Bhd telah mengetepikan isu berkenaan.

"Wujud spekulasi Proton mungkin menjual sahamnya kepada syarikat asing.

Proton sudah mengeluarkan kenyataan menafikannya.

"Kami (kerajaan) tidak akan campur tangan dalam Proton kerana Proton sendiri tahu apa yang terbaik untuk syarikat itu," katanya.

Semalam, Pengerusi DRB-Hocom, Tan Sri Mohd Khamil Jamil dilaporkan berkata, kumpulan itu tidak pernah berhasrat menjual semua pegangannya dalam Proton, tetapi sebaliknya menimbang perkongsian strategik.

Artikel Lain