suria

Lebih 1,000 Koperasi Disasar Sertai Kopsya Menjelang Akhir Tahun Ini

SHAH ALAM: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan lebih 1,000 koperasi di negara ini menyertai Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (Kopsya), menjelang akhir tahun ini.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata setakat ini terdapat 785 koperasi berdaftar dengan Kopsya sejak diperkenalkan pada 2011.

"Kita mahu lebih banyak koperasi berdaftar dengan Kopsya. Terdapat banyak faedah jika mereka menyertai Kopsya termasuk bantuan pembiayaan mudah tanpa membebankan ahlinya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kopsya di sini, Isnin.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Dr Noor Zari Hamat.

Kopsya merupakan koperasi yang dikendalikan Angkasa menawarkan pembiayaan kewangan berkonsepkan pembiayaan Islam.

Abdul Fattah turut menyeru koperasi yang berdaftar di bawah Kopsya supaya menceburi bidang perniagaan berimpak tinggi seperti hartanah dan perladangan.

"Langkah ini akan memberi keuntungan yang lebih tinggi bukan sahaja kepada koperasi tetapi juga ahlinya. 

"Kita tidak mahu koperasi hanya tertumpu kepada pembiayaan peribadi kepada ahlinya sahaja tetapi kita mahu lebih daripada itu," katanya. -- Bernama


Artikel Lain