suria

Fast Bikes Sasar Jual 100 Model Triumph

KUALA LUMPUR: Fast Bikes Sdn Bhd, pengedar tunggal motosikal British 'Triumph' di Malaysia, mahu menjual lebih daripada 100 unit yang terdiri daripada empat model ikon Bonneville terbaharu, dalam tahun ini.

Model-model Bonneville itu merupakan Street Twin, Bonneville T120, Bonneville T120 Black dan Thruxton R.

Ketua Pegawai Operasi Datuk Razak Al-Malique Hussain berkata, tempahan  telah diterima untuk 20 unit model Street Twin setakat ini.

"Tiga model lain, Bonneville T120, Bonneville T120 Black dan Thruxton R pasti mampu menarik perhatian rakyat Malaysia," katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran model-model itu di sini, Isnin.

Harga model Triumph Bonneville berada dalam lingkungan antara RM55,900 dan RM91,900 bergantung kepada jenis dan kapasiti enjin.

Harga, bagaimanapun, dijangka naik sedikit mulai Julai ini.

Menuru Razak, minat dan tarikan motosikal klasik moden telah mula berkembang dengan cepat, dengan menyaksikan banyak pengilang membawa model-model baharu ke dalam pasaran domestik.

"Pada tahun ini, kami menjangkakan akan menjual sebanyak 300 motosikal daripada pelbagai model yang merangkumi motorsikal lumba, moden klasik, dwi- kegunaan, pengembaraan dan motorsikal jalanan.

"Syarikat itu telah melantik lima pengedar bagi memasarkan motosikal itu di seluruh Malaysia," katanya, sambil menambah bahawa 93 unit telah dijual sehingga April.

Beliau juga berkata 211 unit Triumph telah dijual pada tahun 2015 berbanding 115 unit yang dijual dalam 2014.

Artikel Berikut

Artikel Lain