suria

Mah Sing Kumpul Dana RM630 Juta Bagi Pengembangan Masa Depan

Tan Sri Leong Hoy Kum.

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd sedang melaksanakan aktiviti korporat untuk mengumpulkan dana sehingga RM630 juta bagi pengembangan masa depan kumpulan. 

Ia melibatkan terbitan hak boleh lepas dengan waran percuma, yang disasarkan selesai pada suku pertama 2015, dan terbitan bonus satu-bagi-empat yang dijangka selesai pada suku ketiga tahun depan, kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengenai terbitan hak, ia menyatakan asas kelayakan dan harga terbitan tidak ditetapkan buat masa ini dan akan dimuktamadkan selepas syarikat itu memperoleh semua kelulusan yang diperlukan bagi aktiviti korporat tersebut. 

Ini adalah untuk menyediakan fleksibiliti berkaitan dengan harga saham hak dengan waran percuma. 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, cadangan terbitan hak dengan waran percuma akan membolehkan kumpulan itu mengumpulkan dana bagi membiayai sebahagian daripada aktiviti pembangunan hartanahnya, pembelian tanah sedia ada dan keperluan modal kerja am.

"Ia akan memberi sumbangan positif kepada keuntungan masa depan kumpulan, mengukuhkan lembaran imbangan kami dan membawa kepada penjimatan faedah serta kenaikan asas modal syarikat bagi mencerminkan skala operasi sekarang dan aset yang digunakan. 

"Dengan dana pemegang saham meningkat, syarikat juga dijangka berkedudukan baik memperoleh pembiayaan hutang bagi pembangunan perniagaan masa depan dan aktiviti pengembangan, sekiranya terdapat keperluan di masa depan," kata Leong. 

Beliau berkata, kecairan dan kebolehpasaran saham Mah Sing akan ditingkatkan lagi dan pemegang saham akan mempunyai peluang untuk menyertai penawaran ekuiti bagi asas pro-rata pada diskaun berbanding harga pasaran semasa.  

Keuntungan bersih Mah Sing meningkat 21.3 peratus kepada RM254.7 juta bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 30 September, 2014, manakala hasil naik 43.6 peratus kepada RM2.1 bilion. 

Hasil yang bertambah baik itu adalah disebabkan oleh kemajuan daripada projek pembangunan yang dilaksanakan kumpulan sekarang.

Mah Sing Group Bhd

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain