suria

Zico Akan Disenarai Di SGX-ST

KUALA LUMPUR: Zico Holdings Inc, syarikat diperbadankan di Labuan, akan menyenaraikan sahamnya di Catalist Board of Singapore Exchange Securities Trading Ltd (SGX-ST) pada Selasa.


Penyenaraian dan dagangan saham Zico di papan bursa itu dijangka bermula pada 9 pagi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC Inc) Saiful Bahari Baharom dalam satu kenyataan, Khamis.

Beliau berkata, penyenaraian itu akan membolehkan syarikat-syarikat memanfaatkan aktiviti perniagaan serantau sedia ada di Asia Tenggara atau memudahkan pengembangan yang lebih meluas di rantau Asean, terutamanya dengan pelaksanaan Komuniti Ekonomi Asean pada 2015.

"Memandangkan kedudukan strategik Labuan IBFC di Pantai Timur Laut Borneo, ditambah dengan rangka kerja kawal selianya yang kukuh, Labuan IBFC berupaya untuk membantu syarikat-syarikat mengembangkan operasi perniagaan serantau mereka dan memaksimumkan pulangan mereka," katanya.

Zico dan anak-anak syarikatnya merupakan penyedia bersepadu pelbagai disiplin perkhidmatan profesional yang menumpukan kepada rantau Asean dengan menyediakan khidmat nasihat dan perkhidmatan urus niaga, pengurusan dan perkhidmatan sokongan serta perkhidmatan pelesenan.

Ia mempunyai operasi perniagaan di Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar dan Singapura. 

Zico, Saiful Bahari Baharom

Artikel Lain