suria

Dunia Minat Projek Rapid Pengerang - Petronas

JOHOR BAHARU: Kejayaan dalam pelaksanaan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang bakal menjadi pemangkin yang besar dalam memastikan pelaburan masa depan di kawasan tersebut.

Pengarah Eksekutif Projek RAPID Wan Yusoff Wan Hamat berkata Petronas sedar dunia sedang memerhatikan dengan penuh minat sama ada pelaburannya dalam RAPID itu berjaya atau tidak.

Beliau berkata dunia mahu melihat sama ada projek RAPID yang bakal menjadikan Malaysia sebagai hab industri minyak dan gas serantau itu, berjaya mencapai matlamatnya.

"Dunia kini memantau sama ada RAPID (akan) berjaya. Dunia memerhati sama ada RAPID mampu memenuhi sasaran yang ditetapkan dan memulakan operasi," katanya kepada pemberita di Nusajaya baru-baru ini.

RAPID dijangka memulakan operasinya pada tahun 2019, katanya.

Selain itu, Wan Yusoff berkata pembangunan RAPID di Pengerang oleh syarikat minyak dan gas negara itu turut dijadikan faktor oleh pelabur-pelabur lain yang mahu membina kompleks yang sama.

Petronas bakal melabur RM89.3 bilion untuk membangunkan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) iaitu RM53 bilion untuk pembangunan RAPID dan RM36 bilion untuk kemudahan serta prasarana sokongan yang berkaitan.

Selain RAPID, PIC turut mengandungi kemudahan sampingan yang lain seperti Terminal Regasifikasi LNG Pengerang, Unit Pemisahan Udara, Projek Pembekalan Bekalan Air Mentah (Pamer) Tangki Produk dan Minyak Mentah serta kemudahan perkongsian dan pemusatan utiliti.

Wan Yusoff berkata kejayaan Petronas membangun and menyiapkan PIC serta RAPID mengikut jadual juga, akan membantu negara menarik lebih banyak syarikat untuk melabur di dalam Kompleks Bersepadu Petrokimia Pengerang (PIPC).

PIPC terdiri daripada projek RAPID serta projek Terminal Petroleum Air Dalam yang diusahakan oleh syarikat tempatan Dialog Group Berhad dengan rakan kongsinya, Royal Vopak dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan (SSI) dengan pelaburan sebanyak RM5 bilion.

Dialog dan rakannya juga akan melabur RM4 bilion untuk membina kemudahan gas asli cecair.

Ditanya tentang proses penganugerahan kontrak-kontrak bagi PIC termasuk RAPID setakat ini, beliau berkata jumlahnya masih belum mencapai separuh daripada jumlah keseluruhan kontrak bagi projek itu.

"Kita masih belum mencapai separuh lagi, dalam erti kata lain penganugerahan kontrak-kontrak. Peluang masih besar," katanya sambil menambah pihaknya menjangkakan setahun lagi bagi menganugerahkan kesemua kontrak terbabit.

Beliau juga berkata loji-loji petrokimia di RAPID direka bentuk untuk memproses minyak mentah dari Timur Tengah, tetapi dalam yang sama mempunyai kemudahan untuk mencampur minyak-minyak mentah lain sekira pihaknya gagal memperoleh minyak mentah Timur Tengah itu.

"RAPID tidak bergantung kepada minyak mentah tempatan, kami mengenal pasti minyak mentah antarabangsa," kata Wan Yusoff.


Pengerang, Petronas

Artikel Berikut

Artikel Lain