suria

Oman Mahu Tarik Pelaburan Dari Malaysia

PETALING JAYA: Oman mahu menarik pelaburan dari Malaysia untuk pasaran negara itu, terutama makanan halal, penjagaan kesihatan, pembinaan, pelancongan serta minyak dan gas.

Nader Abbas, Pengurus Besar Omanexpo LLC, sebuah syarikat pengurusan acara di Oman, berkata perniagaan Malaysia wajar merebut peluang persekitaran mesra perniagaan dan insentif yang ditawarkan untuk meneroka pasaran dan menjalin hubungan perniagaan di negara itu.

Beliau berkata insentif perniagaan, termasuk cukai pendapatan individu sifar, kebebasan menghantar pulang modal dan keuntungan selain pemilikan perniagaan 100 peratus.

"Kami sudah memuktamadkan banyak perjanjian dua hala, dan kami mahu mengaktifkannya dengan menarik pelabur membuka perniagaan, menjalin usaha sama atau rangkaian francais, atau menjadi ejen perniagaan," katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai 'Meneroka Peluang Perniagaan di Oman' anjuran Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia di sini, Khamis.

Keluaran dalam negara kasar Oman pada 2013 bernilai US$79.7 bilion dan dijangka kekal stabil walaupun ekonomi dunia tidak menentu.

Import negara itu kebanyakan melibatkan barangan elektronik dan produk minyak sawit dari Malaysia manakala rakan dagang utamanya terdiri daripada Emiriah Arab Bersatu, Jepun, UK dan Amerika Syarikat.


Oman, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain