suria

Singapore Airlines Guna Pesawat A380 Ke India Mei Ini

Singapore Airlines akan mula menggunakan pesawat Airbus A380 ke New Delhi dan Mumbai mulai 30 Mei ini. Foto AFP

NEW DELHI: Singapore Airlines akan mula menggunakan pesawat Airbus A380 ke New Delhi dan Mumbai mulai 30 Mei ini, menjadikannya syarikat penerbangan pertama mengendalikan pesawat jumbo itu di India, selepas negara itu menarik balik larangan mendarat pesawat berkenaan di sini.

"Kami berminat untuk mengendalikan pesawat Airbus A380 ke India dan gembira Perjanjian Perkhidmatan Udara antara Singapura dan India kini membolehkan kami berbuat demikian," kata Naib Presiden Kanan Perancangan Pemasaran Singapore Airlines, Lee Wen Fen dalam satu kenyataan.

Pesawat superjumbo A380 itu akan beroperasi setiap hari ke Mumbai dan New Delhi bermula 30 Mei 2014, mengambil alih dua penerbangan harian pada masa ini yang menawarkan perkhidmatan menggunakan pesawat Boeing 777 yang lebih kecil, kata syarikat penerbangan itu.

Satu lagi penerbangan harian akan terus dikendalikan dengan pesawat B777. Secara keseluruhan, 14 penerbangan akan ke setiap bandar setiap minggu, katanya.

"India merupakan pasaran penting bagi Singapore Airlines dan kami amat gembira lebih banyak pelanggan kami akan dapat menikmati keselesaan pesawat terbesar di dunia ini tidak lama lagi," katanya.

Singapore Airlines adalah syarikat penerbangan pertama di dunia mengendalikan A380 apabila pesawat itu mula digunakan dalam perkhidmatan pada Oktober 2007, bagi penerbangan antara Singapura dan Sydney.

Pesawat jumbo itu kini juga ke Frankfurt, Hong Kong, London, Los Angeles, Melbourne, New York, Paris, Shanghai, Tokyo Narita dan Zurich.

singapore airlines, airbus, a380

Artikel Berikut

Sayur Sawi Dijual RM0.33

Artikel Lain