suria

[V] Isteri ‘burnout’ bawa anak-anak lari malam, mujur couple baik hati tegur... Tiba-tiba kereta datang himpit! - “Kami mula rasa curiga”

Seorang isteri hampir hilang pertimbangan gara-gara konflik rumahtangga.

ASAM garam rumahtangga pasti ada naik dan turunnya.

Walaupun begitu, ada kalanya gelora yang mendatang itu terlampau besar sehingga boleh menggoyahkan hubungan pasangan suami isteri.

Begitulah pengalaman Lina Baharin apabila dia menyaksikan seorang isteri nekad melarikan diri dari rumah bersama dua orang anak dengan berjalan kaki di jalan raya.

Dalam satu video tular di TikTok, Lina dan suaminya terpaksa mengambil langkah intervensi untuk mengawal keadaan sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.

Situasi genting dalam kegelapan malam itu dipercayai berpunca daripada si isteri yang sudah remuk hatinya dalam hal rumahtangga.

"Waktu tu dalam pukul 9 malam, saya nampak ada seorang wanita sedang mengendong bayi berusia 12 bulan dan diikuti seorang lagi anak lelaki yang berusia 3 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga di kampung dianggap ‘stranger’, hanya hulur duit tapi tak rapat... Netizen nasihat perantau ini pulang sebelum terlambat

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia kata simpanan RM10,000 habis macam air” - Anak nak kahwin lagi 2 bulan, ibu sanggup gadai gelang bakal menantu tiba-tiba tak cukup wang hantaran

"Muda-muda lagi anak dia. Saya nampak wanita itu menangis. Saya berhenti tepi tanya dia kalau ada apa-apa yang saya boleh tolong, tapi dia enggan jawab dan terus menangis.

"Tak lama selepas itu datang sebuah kenderaan dengan laju terus berhenti di hadapan saya dan menghimpit wanita dan anak tersebut, Saya dan suami mula rasa curiga dan risau akan keselamatan mereka," kata Lina kepada mStar.

Lina yang memegang jawatan penguatkuasa tempatan di daerah Kemaman, Terengganu terpanggil untuk cuba melihat apa yang sedang berlaku.

"Saya bergegas menghampiri kenderaan tersebut. Saya memperkenalkan diri dan bertanya masalah apa yang sedang terjadi di antara mereka. Rupa-rupanya Itu kereta suaminya.

Salah satu kunci yang penting dalam rumahtangga adalah komunikasi. Komunikasi ni memainkan peranan dalam rumah tangga.

LINA BAHARIN

"Bukan niat saya untuk masuk campur hal rumahtangga mereka. Niat saya cuma untuk membantu kerana tindakan yang diambil si ibu itu amat berbahaya

"Dia berada di jalan raya utama dengan trafik yang sibuk, kenderaan lalu bertali arus, bahaya sangat untuk mereka," ujar Lina risau.

Lina dan suaminya membawa anak-anak kecil itu ke tempat selamat sebelum menasihati pasangan suami isteri tersebut untuk berdamai demi masa hadapan anak-anak.

"Saya dan suami memindahkan anak-anak mereka ke dalam kenderaan kami. Biar mereka selamat dulu dalam kereta. Saya pun ada anak kecil, saya risau sangat apabila jadi macam itu.

"Kemudian kami cuba berbincang dengan si suami untuk memujuk isterinya. Suami saya cakap dekat abang tu, pujuk la wife abang. Keadaan macam ni, orang perempuan tengah emosi.

lari 2

Seorang isteri terduduk di bahu jalan menahan sebak selepas rumahtangganya hampir lebur.

"Macam-macam boleh jadi. Bahaya bawa anak kecil malam-malam... risiko tinggi," kata Lina prihatin dengan nasib keluarga itu.

Lina kemudiannya pergi menghampiri si isteri yang sedang melayani perasaan untuk cuba menenangkannya dan menghalangnya daripada membuat perkara yang di luar jangkaan.

"Saya tak tahu apa masalah akak tu tapi saya tahu dia mungkin dah penat pikul masalah rumahtangga. Saya faham perjuangan rumahtangga tidak mudah.

"Saya duduk depan akak tu, lepas tu saya pegang tangan dia dan peluk. Saya cakap minta maaf bukan nak busybody.

"Tetapi saya cakap dekat dia, saya yakin yang kita sebagai seorang ibu tidak terlepas daripada diuji oleh Allah, kita semua akan lalui masalah, cuma setiap masalah itu berbeza-beza.

Lina dan suami meminta agar anak-anak dibawa ke tempat selamat terlebih dahulu.

"Saya beritahu dia untuk fikirkan anak-anak. Bincang elok-elok dengan husband, luahkan apa yang akak rasa," ujar Lina cuba untuk menjernihkan keadaan.

Akhirnya setelah suhu keadaan mula menurun, wanita itu setuju untuk pulang ke rumah dan membawa anak-anak memasuki kereta suaminya.

Lina juga sempat memaklumkan rakaman yang dimuat naiknya itu bukannya untuk meraih populariti viral tetapi sebaliknya untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat.

"Bukan nak buat content semata-mata dan buka aib mereka, tetapi nak bagi awareness untuk diri sendiri dan orang lain agar peka dengan keadaan sekeliling.

Kereta si suami datang meluru mahu membawa isterinya pulang selepas dia melarikan diri bersama anak-anak.

"Kita tak tahu dekat luar sana mungkin ada yang perlukan bantuan, macam kisah akak ni, nasib baik kami ada untuk leraikan ketegangan di jalan raya," kata Lina bersyukur tidak ada perkara buruk yang berlaku.

Menitipkan pesanan untuk rumahtangga yang sedang bergolak, Lina mengatakan kuncinya adalah komunikasi.

"Salah satu kunci yang penting dalam rumahtangga adalah komunikasi. Komunikasi ni memainkan peranan dalam rumahtangga.

"Kadang isteri hanya perlukan seorang suami untuk memahami dan menghargai dan menjadi pendengar apabila mereka mempunyai masalah.

"Kalau nampak isteri penat, kita tolong. Kalau nampak isteri burnout datang untuk peluk isteri, untuk bantu dan tanya masalah mereka," ujar Lina berbicara mengenai empati.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain