suria

Lelaki maki promoter bir mohon maaf, “Amat menyesal tindakan saya”

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang memaki seorang promoter minuman keras membuat permohonan maaf secara terbuka, selepas dikecam ramai kerana tindakannya itu dianggap biadab.

Lelaki yang lebih dikenali sebagai Edi Rejang membuat permohonan maaf di halaman Facebooknya pada malam Selasa.

“Saya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia terutama kepada promoter perempuan tersebut.

“Saya akui kesalahan saya dan amat menyesal di atas tindakan saya terhadap promoter tersebut,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Walau dimaki, gadis promoter bir minta tidak panjangkan isu

Menerusi video kira-kira 45 saat itu, dia turut berharap agar isu berkenaan tidak seharusnya dipanjangkan oleh mana-mana pihak selepas ini.

“Saya telah bertemu dengan Ahli Parlimen DAP (Kepong), YB (Yang Berhormat) Lim Lip Eng dan telah membuat permohonan maaf kepada pihaknya.

“YB Lim juga mengatakan akan membuat satu perjumpaan dengan promoter perempuan tersebut secepat mungkin,” tambahnya. 

Pada Isnin, tular sebuah video menunjukkan lelaki berkenaan melemparkan kata-kata kesat berbaur perkauman terhadap seorang promoter wanita di rak jualan bir di bahagian barangan tidak halal di sebuah pasar raya di Ampang. 

Dia juga berterusan mengkritik wanita itu dan mendesaknya untuk bercakap dalam bahasa Melayu kerana katanya ini adalah 'Bumi Melayu'.

Walaupun lelaki berkenaan memarahinya dan mendesak mahu mengetahui sama ada dia mempromosikan bir itu kepada semua orang termasuk orang Islam, promoter itu tetap kelihatan tenang.

Selain memaki dan melayan promoter wanita itu secara kasar, lelaki tersebut turut menunjukkan isyarat lucah sebelum beredar.

Insiden itu membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia, di mana Lip Eng kemudian membuat desakan supaya polis mengambil tindakan tegas terhadap lelaki berkenaan.

Lip Eng yang membuat laporan di Balai Polis Ampang pada Selasa berkata, pihak berkuasa perlu mencegah ketegangan kaum di negara ini yang semakin berleluasa.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
promoter

Artikel Lain