suria

Pintar, automatik dan digital... ciri-ciri moden grid masa depan negara

Jaringan bekalan elektrik negara Grid Masa Depan bukan sekadar wayar dan kabel yang mengalirkan elektrik dari satu tempat ke tempat lain.

PERJALANAN di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan sentiasa mendamaikan, dengan pemandangan bukit-bukau dan perkampungan kecil serta rumah ladang yang begitu memukau.

Selain itu, pemandangan yang turut menjadi perhatian adalah rentangan kabel yang panjang, menghubungkan menara ke menara lain di sepanjang lebuh raya, atau lebih dikenali sebagai grid nasional.

Grid tersebut menyalurkan tenaga elektrik yang dijana di stesen janakuasa ke semua negeri, seterusnya daerah dan kampung.

Namun kini tidak lagi. Dikala grid yang sekadar wayar dan kabel untuk menyalurkan tenaga elektrik dari satu tempat ke tempat lain telah berlalu.

Grid Nasional dimodenkan dengan Grid Pintar, iaitu Grid Masa Depan.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini memodenkan Grid Nasional dengan mengadaptasi teknologi pintar, automatik dan digital bagi memastikan kecekapan, keboleharapan dan kelestarian yang maksimum.

Grid pintar akan membolehkan tenaga yang dihasilkan dari loji janakuasa, ladang solar atau mana-mana sumber tenaga yang dapat diterima dan dibekalkan kepada pengguna lain.

Grid pintar yang dimaksudkan adalah, sebagai rangkaian yang dapat berkomunikasi antara pembekal dan pengguna, yang membolehkan mereka terbabit dalam mengubah penggunaan, membuat pilihan tenaga yang diperlukan, penjimatan tenaga dan pengurangan kos.

Bukan sekadar itu, grid pintar tersebut juga mampu memulihkan bekalan secara automatik.

Monitor dan sensor-sensor yang dipasang di sepanjang grid akan mengenal pasti kerosakan dan memaklumkan jurutera. Masalah dapat diselesaikan dari jarak jauh, atau dengan bantuan dron.

Masalah itu boleh ditangani oleh pegawai bertugas di Pusat Kawalan TNB di Bangsar, Kuala Lumpur dengan hanya menekan butang. Bekalan tenaga dapat disalurkan dengan memintas kawasan atau laluan yang bermasalah/sedang mengalami kerosakan. Isu bekalan elektrik terputus secara besar-besaran dan dalam tempoh yang lama tidak akan berlaku lagi. Masalah dapat diatasi dalam waktu yang singkat.

Pastinya ia merupakan antara ciri-ciri utama/ kelebihan grid pintar yang dibangunkan ini.

Perkara ini dapat dilakukan melalui integrasi sistem bekalan tenaga dari loji janakuasa yang dimiliki oleh TNB dan swasta termasuk ladang solar, pembekal tenaga solar atas bumbung dan unit perumahan persendirian di mana boleh membekalkan tenaga selain untuk kegunaan mereka sendiri.

Sehubungan itu, tenaga elektrik seharusnya dimanfaatkan dan disimpan untuk disalurkan apabila diperlukan.

Tambahan pula, keupayaan grid pintar juga dapat membentuk grid mikro sama ada di satu-satu kawasan, seperti kawasan perumahan yang besar. Di mana grid mikro ini dapat memisahkan sambungan dari grid utama sepenuhnya dan membekalkan elektrik mereka sendiri.

Dalam pada itu, penghasilan tenaga melalui panel solat atas bumbung secara meluas dan kemajuan sistem penyimpanan tenaga melalui bateri bersekala besar akan merubah rantaian bekalan elektrik tradisional.

Bagi mendepani cabaran masa depan ini, TNB mempunyai sistem distribution automation yang direka dan dibina untuk memberi pengalaman pelanggan yang lebih baik, penyambungan semula bekalan tenaga lebih pantas (seperti diceritakan tugas jurutera di Pusat Kawalan Bangsar), dapat mengurangkan terputus bekalan tenaga dan pengurangan kos.

Penjimatan tenaga boleh terjadi dengan perancangan penggunaan tenaga yang tepat dan optimum. Penggunaan tenaga elektrik dapat dilihat dan dipantau dengan jelas melalui penggunaan meter pintar. Meter pintar telah mula dipasang di beberapa tempat seluruh negara.

TNB merancang sebanyak 1.8 juta meter pintar dipasang sehingga akhir tahun ini, dengan sasaran 9.1 juta meter yang memanfaatkan semua pelanggan menjelang 2027.

Setakat Mei 2021, sejumlah 1.2 juta pengguna di Semenanjung Malaysia telah dipasangkan dengan meter pintar.

Melalui teknologi meter pintar, pengguna boleh memantau jumlah penggunaan elektrik melalui telefon pintar dengan melayari aplikasi TNB.

Maklumat penggunaan elektrik yang berada di tangan pengguna juga dapat mengawal penggunaan tenaga bagi memastikan bil kekal rendah atau melakukan penjimatan melalui menggunakan barangan elektrik pada waktu yang tepat.

Bagi memastikan pelanggan TNB sentiasa menikmati servis bertaraf dunia, TNB akan melabur kira-kira RM5 bilion setahun sehingga 2025 untuk memodenkan grid berkenaan. Ini akan membolehkan TNB berdepan dengan cabaran penyambungan sumber tenaga yang diperbaharui kepada grid dan pengurusan tenaga desentralisasi.

Dengan pemodenan grid ini, ia juga dapat merealisasikan platform terbuka untuk solusi tenaga. Selain itu, sistem ini juga lebih berdaya tahan terhadap sekuriti siber dan kesan perubahan iklim.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Wanita kongsi detik lucu masalah bau di rumah