suria

MPI tangguh Malam Wartawan Malaysia 2020, mungkin diadakan tahun depan

Malam Wartawan Malaysia 2020 (MWM 2020) ditangguhkan susulan negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga bagi mengawal penularan wabak koronavirus (Covid-19). Gambar fail. Foto: The Star

PENGANJURAN Malam Wartawan Malaysia 2020 (MWM 2020) ditangguhkan susulan negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga bagi mengawal penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Majlis yang diperkenal bagi menghargai dan mengiktiraf karya wartawan yang dijadualkan berlangsung pada 21 April ini, telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

ARTIKEL BERKAITAN: Kumpulan Media Star rangkul 2 Hadiah Kewartawanan Malaysia, mStar peroleh saguhati

ARTIKEL BERKAITAN: Gobind umum pelantikan 17 Ahli Jawatankuasa Sementara Majlis Media Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, sekalipun PKP ditamatkan pada 28 April 2020, MWM 2020 hanya akan diadakan selepas kerajaan membenarkan perhimpunan ramai dianjurkan iaitu untuk tempoh enam bulan hingga setahun.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan majlis tahunan yang bertujuan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas bagi tahun 2019 itu diadakan pada awal tahun hadapan.

"Saya juga akan memaklumkan penangguhan Malam Wartawan Malaysia 2020 kepada para penaja yang telah menghulurkan sumbangan masing-masing secara rasmi melalui surat selepas PKP ditamatkan nanti," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada sahabat-sahabat korporat MPI atas sokongan yang diberikan kepada MPI untuk menjayakan MWM 2020.

Beliau turut berterima kasih kepada Petronas atas tajaan wang tunai bernilai RM300,000 untuk para pemenang HKM. Petronas mula menaja HKM pada 1994.

Kepada lebih 300 orang wartawan yang menyertai HKM 2019, Chamil meminta mereka bersabar untuk mengetahui siapakah antara mereka yang akan dinobatkan sebagai pemenang.

"Sebelum PKP dilaksanakan, penghakiman pusingan kedua telah diselesaikan. Jadi kita kenalah menunggu untuk tahu siapa yang akan menang bagi 20 kategori yang dipertandingkan termasuk yang bakal diangkat sebagai Pemenang Kajai yang akan membawa pulang RM30,000 serta trofi," ujarnya.

HKM diperkenalkan oleh MPI pada tahun 1980 sebagai wadah untuk mengiktiraf karya-karya yang cemerlang dalam bidang kewartawanan. - SINAR HARIAN

Malam Wartawan Malaysia, MPI, PKP

Artikel Lain