suria

Polis sahkan identiti mayat, Ketua MIC Paya Besar maut dilanggar

Polis Daerah Kuantan mengesahkan identiti mayat lelaki yang ditemukan mati di tepi jalan berhampiran Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP)kira-kira jam 10.50 malam. Foto: Sinar Harian.

POLIS Daerah Kuantan mengesahkan identiti mayat lelaki yang ditemukan mati di tepi jalan berhampiran Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dekat Gebeng kira-kira jam 10.50 malam Ahad adalah Ketua MIC Bahagian Paya Besar, Ramesh Ganesan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, siasatan forensik mengesahkan mangsa maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

"Polis percaya, mangsa maut akibat dilanggar kenderaan lain di luar kenderaan. Jenis kenderaan yang melanggar mangsa belum dikenal pasti. Siasatan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu.

"Ini berdasarkan kecederaan fizikal mangsa yang cedera di bahagian kepala. Setakat petang ini, polis tidak menerima sebarang laporan bersabit kemalangan di lokasi kejadian dan ia menjurus kepada langgar lari," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Isnin.

Mohamad Noor berkata, dalam kejadian kira-kira 10.50 malam dekat Sungai Ular itu, mayat Ramesh,50, dijumpai orang awam pada jarak 20 meter daripada kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux miliknya.

Mohamad Noor turut tidak menolak kemungkinan mangsa dilanggar di luar kenderaannya sebelum rebah dan maut di tempat kejadian.

Tambah beliau, kenderaan milik mangsa juga tidak mempunyai kesan pelanggaran dan beg serta MyKad mangsa ditemui dalam kenderaan.

"Lokasi kejadian berdekatan semak, jauh dari perumahan, sangat gelap, tiada kamera litar tertutup jalan dan dipercayai ketika kejadian berlaku dalam keadaan hujan. Ini kerana ketika polis tiba, jalan masih basah," katanya.

Terdahulu, mayat lelaki dipercayai pemimpin parti politik di Kuantan ditemukan di Gebeng Ahad malam. -Sinar Harian

Ramesh Ganesan, maut, dilanggar

Artikel Lain