suria

Ahmad Zahid akan didakwa 2 hari berturut-turut

Zahid akan didakwa di dua mahkamah berasingan pada dua hari bermula Rabu ini.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat izin mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikut Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan.

Kebenaran itu diperoleh daripada pejabat  Peguam Negara demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan SPRM pada Selasa.

Ahmad Zahid akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu dan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Khamis ini mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

“Ahmad Zahid bakal menghadapi beberapa pertuduhan di kedua-dua mahkamah itu mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 dan 165 Kanun Keseksaan.

“SPRM sudah menahan Ahmad Zahid pada jam 10 pagi Isnin di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya  selepas beliau hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir berkenaan kes rasuah membabitkan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

“Ahmad Zahid kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM,” demikian menurut kenyataan itu.

Pada Isnin, Ahmad Zahid hadir ke SPRM bagi memberi keterangan berkaitan kes sebuah syarikat swasta mengendalikan urusan kemasukan pelancong dari China untuk kegunaan peribadi.

Beliau tiba pada kira-kira jam 9.30 pagi dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam dan dilaporkan meninggalkan pekarangan SPRM kira-kira tiga jam kemudian.

Sebelum itu, media melaporkan, menteri kanan kerajaan terdahulu akan dipanggil ke ibu pejabat SPRM bagi merekodkan kenyataannya sebelum dituduh di mahkamah.


Ahmad Zahid, VLN, SPRM

Artikel Lain