suria

Sultan Johor berkenan serah tanah di Bukit Chagar dengan satu syarat

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menyerahkan tanah milik baginda di Bukit Chagar kepada kerajaan tanpa sebarang kos sekiranya tanah itu terlibat untuk projek Sistem Rapid Transit (RTS).

Setiausaha Sulit Sultan Johor, Datuk Jaba Noah berkata Sultan Ibrahim bertitah dengan syarat, projek RTS itu mesti diteruskan segera kerana baginda amat memahami derita rakyat yang terpaksa berulang alik ke Singapura.

Beliau berkata, Sultan Johor berasa kecewa di atas satu berita yang mengaitkan isu peningkatan kos projek RTS dengan sebidang tanah milik baginda di Bukit Chagar itu.

Beliau berkata, sehingga ke hari ini, Sultan Johor tidak pernah dimaklumkan mengenai tanah milik baginda yang akan terlibat untuk projek RTS.

"Namun begitu, Sultan Johor bertitah bahawa sekiranya benar tanah milik baginda tuanku di Bukit Chagar terlibat untuk projek RTS, maka baginda tuanku berkenan untuk menyerahkan tanah yang terlibat kepada kerajaan tanpa sebarang kos.

"Dengan syarat, projek RTS ini mestilah diteruskan dengan segera kerana baginda tuanku amat memahami derita rakyat yang terpaksa berulang-alik ke Singapura," katanya menerusi kenyataan yang dimuatnaik dalam laman Facebook Sultan Johor, Sabtu.

Jaba berkata, sebagaimana yang sering ditegaskan bahawa kepentingan rakyat dan kerajaan sentiasa menjadi keutamaan Sultan Johor dan setiap isu haruslah dibawa berbincang secara muafakat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan akan menuntut kembali tanahnya di Bukit Chagar, Johor Bahru jika benar telah ditukar hak milik kepada Sultan Johor tanpa melalui proses yang betul.

Perdana Menteri berkata, jika tanah berkenaan telah dibeli oleh mana-mana pihak, kerajaan perlu membelinya semula kerana ia milik Kerajaan Persekutuan.

Dr Mahathir mengulas laporan sebuah portal berita yang memetik sumber, yang mendakwa kononnya tanah itu telah ditukar milik ke atas nama Sultan Johor.

Laporan itu juga mendakwa, Pejabat Tanah dan Galian Johor mendapat tahu pertukaran hak milik terbabit pada 28 Januari lepas.

Lokasi dimaksudkan adalah satu daripada lima bidang tanah di Bukit Chagar yang diberikan kepada Putrajaya oleh Kerajaan Negeri pada 2012 sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tanah untuk membina Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru.-Bernama

Sultan Johor, Bukit Chagar

Artikel Lain