suria

Pasang alat kesan asap dalam tandas awam atasi tabiat perokok

PEMASANGAN alat pengesan asap di tandas awam milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bakal diperkenalkan untuk mengatasi tabiat perokok di kemudahan awam itu.

Ketika ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mengkaji mekanisme sesuai yang boleh digunakan untuk mengatasi tabiat perokok di dalam tandas awam.

Timbalan Menterinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, kementeriannya akan melakukan kajian lebih terperinci bagi mengenal pasti mekanisme yang sesuai untuk mengatasi masalah itu.

“Mungkin boleh pasang alat pengesan asap sebab di dalam tandas tidak boleh pasang CCTV (televisyen litar tertutup), tetapi kita perlu lakukan kajian daripada sudut ekonomi mengenai keberkesanannya.

“Untuk melaksanakannya (pengesan asap) mungkin memerlukan kos yang­ tinggi dan mengambil masa kerana perlu menaik taraf banyak tandas dengan pengesan asap,” katanya kepada pembe­rita selepas merasmikan Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 dan melancarkan aplikasi berkenaan di Stadium Indera Mulia di Ipoh, Ahad.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai tandas yang menjadi tumpuan perokok selepas larangan merokok diperkenalkan di premis makanan mulai tahun ini.

Selain itu, katanya mungkin kempen keseda­ran boleh dilakukan bagi mengurangkan perokok yang menjadikan tandas sebagai lokasi untuk mereka merokok. – Bernama

tandas awam, PBT, Raja Kamarul

Artikel Lain