suria

'Malaysia ke Jepun untuk Olimpik 2020', Agro Malaysia komited perkasa pasaran halal

G Gnanaraja (tengah) bersama sebahagian daripada peserta MHE 2019.

AGRO Malaysia komited untuk memastikan usahawan tempatan mengambil peluang menembusi pasaran halal di Jepun secara besar-besaran sempena Expo Halal Malaysia 2019 (MHE 2019) yang berakhir pada Sabtu.

Expo tersebut bertemakan 'Malaysia ke Jepun untuk Olimpik 2020'.

Presiden Datuk Seri G Gnanaraja berkata pihaknya, akan memastikan usahawan Agro Malaysia tidak terlepas peluang keemasan sebegini kerana ia akan menjadi permulaan penerokaan pasaran halal yang lebih luas ke Jepun selepas ini.

"Sejak memegang jawatan Presiden Agro Malaysia pada September lepas, ini adalah antara misi saya iaitu mengembangkan rangkaian usahawan kami terutama ke pasaran antarabangsa.

"MHE 2019 merupakan kesinambungan memorandum kerjasama berkaitan halal Malaysia-Jepun yang dimerterai 26 November lalu, oleh itu kami turut merebut peluang ini dari awal, bukan sahaja membantu meningkat ekonomi negara, tetapi paling penting matlamat Agro Malaysia sendiri iaitu agenda memperkasa usahawan bumiputera Islam Malaysia dan ini peluang untuk membawa agenda ini ke peringkat dunia," katanya selepas melawat 320 gerai MHE.

Menurut Gnanaraja, permintaan terhadap makanan halal akan semakin tinggi sempena Sukan Olimpik tahun depan.

"Selain kemasukan pelancong beragama Islam, jadi kami akan memulakan usaha ini dengan lebih hebat agar semua usahawan Agro Malaysia tidak terlepas peluang keemasan ini.

"Produk makanan halal di Jepun sinonim dengan kebersihan dan gaya hidup sihat dan bukan semata-mata disebabkan faktor keagamaan.

"Jepun juga adalah negara yang sentiasa mementingkan kebersihan dan gaya hidup sihat, persahabatan kedua-dua negara juga sangat erat, ini adalah sangat signifikan untuk usahawan dan tentunya memudahkan kita menembusi pasaran halal negara itu," katanya.

Sempena Sukan Olimpik 2020, Jepun mensasarkan kemasukan 40 juta pelancong tahun hadapan, dengan sebahagian daripadanya pelancong beragama Islam.

Malaysia dalam pada itu mengeksport makanan siap proses bernilai USD1.03 bilion (RM4 bilion) ke negara-negara Asia Timur pada 2017.

Jepun adalah destinasi eksport produk makanan siap proses yang kedua terbesar Malaysia bernilai USD249 juta (RM972 juta) selepas China bernilai USD391.6 juta (RM1.56 bilion), diikuti Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan.

Sementara itu Expo Halal Malaysia (MHE 2019) yang berakhir hari ini melibatkan enam bahagian iaitu makanan dan minuman, bahan ramuan, bioteknologi, kosmetik, penjagaan kesihatan dan farmaseutikal serta logistik.

Artikel Lain