suria

Saya mohon maaf, tak perasan pakai baju ada logo parti - Manogaran

Manogaran ditegur dan diarah meninggalkan kawasan mengundi.

CALON Pakatan Harapan daripada DAP, M. Manogaran memohon maaf kepada semua pihak berhubung pemakaian baju berlogo parti ketika masuk ke perkarangan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sinderut, Kuala Lipis, pagi Sabtu.

Manogaran, 61, mendakwa beliau tidak perasan memakai baju berlogo parti itu kerana telah menjadi kebiasaan memakai baju rasmi serta tiada niat untuk mencabar akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya minta maaf, ini bukan satu isu, kita patuhi undang-undang, saya minta maaf atas perkara yang tidak disengajakan itu.

“Saya memang tidak perasan, sebab dua minggu saya pakai macam itu. ia tidak ada maksud tertentu dan saya tidak bercakap dengan pengundi, jadi ianya bukan isu,” katanya ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke pusat pengundian di SK Betau petang Sabtu.

Sebelum ini, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan telah menegur Manogaran dan berkata tindakan telah diambil terhadapnya dengan menyuruh beliau keluar dari kawasan mengundi.

Mengikut peraturan mana-mana individu tidak dibenarkan memakai logo parti dalam jarak 50 meter daripada pusat mengundi.

Dalam pada itu, ditanya mengenai isu pemberian hamper kepada pengundi di suatu kawasan malam Jumaat yang telah tular di media sosial, Manogaran mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai isu terbabit dan akan menyiasat perkara itu.

“Saya berada di perkampungan Orang Asli malam tadi dan hanya diberitahu pagi ini. Saya perlu mengetahui perkara sebenar sebelum membuat sebarang kenyataan,” katanya. - BERNAMA

M. Manogaran, DAP

Artikel Lain