suria

Warga emas cedera dikelar lelaki kurang siuman

PEKAN: Marah diminta bersabar menyebabkan seorang lelaki kurang siuman bertindak mengelar leher seorang warga emas di sebuah premis perniagaan di Jalan Sultan Abdullah di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Amran Sidek berkata kejadian pada 12.05 tengah hari itu mangsa Abdul Karim Mohd Alias, 67, cedera di bawah dagu, bahu kanan dan di leher.

"Suspek dipercayai marah dengan tindakan mangsa yang menegurnya supaya bersabar kerana suspek telah melanggarnya (hingga) terjatuh semasa hendak memotong barisan di kaunter pembayaran.

"Suspek kemudiannya terus mengeluarkan pisau dan mengelar leher mangsa sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Amran berkata dua anggota polis unit rondaan bermotosikal yang berada berhampiran lokasi kejadian telah menemui suspek yang sedang memegang pisau berkenaan kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

"Mereka memujuk suspek untuk menyerah diri dan menyerahkan pisau itu. Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan untuk siasatan lanjut," katanya.

Amran menambah siasatan awal juga mendapati suspek berusia 53 tahun itu mempunyai rekod perubatan berkaitan masalah mental dan sering dilihat berlegar-legar di sekitar bandar daerah ini.

Katanya, mangsa kini dirawat di Hospital Pekan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

kelar, warga emas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tiada lagi monopoli import gula

Artikel Lain