suria

Dua kaki judi main nombor ekor didenda RM2,100

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki didenda RM2,100 oleh Mahkamah Syariah Kuala Terengganu pada Isnin kerana bermain judi nombor ekor, Mei lalu.

Lelaki berusia 56 tahun dari Baru Rakit, Kuala Nerus, turut berdepan hukuman sebulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda dikenakan.

Keputusan dibuat selepas lelaki yang bekerja kampung itu mengaku bersalah atas dakwaan dibawah Seksyen 22(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berjudi.

Mengikut fakta kes, serbuan dilakukan pada 5 Mei lalu, jam 11.10 pagi, di sebuah premis di Jalan Gong Badak, Kawasan Perindustrian Gong Badak, Kuala Nerus, selepas disyaki ada menjalankan aktiviti perjudian.

Semasa serbuan, terdapat beberapa individu sedang menjalankan urus niaga di dalam premis yang merupakan sebuah kedai menjual alat permainan dan tambah nilai telco.

Pemeriksaan lanjut terhadap lelaki itu menjumpai sekeping kertas yang tercatat nombor ramalan dalam beg duitnya.

Siasatan seterusnya mendapati premis tersebut ada menjalankan aktiviti perjudian nombor ekor.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang mesin rumput turut menerima nasib sama selepas dijatuhi hukuman denda RM2,100 kerana kesalahan berjudi.

Lelaki berusia 48 tahun dari Kampung Tok Adis, di sini, turut berdepan hukuman sebulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat selepas dia mengaku bersalah bermain judi nombor ekor ketika ditangkap di sebuah premis di Kampung Dalam Bata, di sini, jam 4.50 petang, pada 17 Januari lalu.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustafar. - Sinar Harian

nombor ekor

Artikel Lain