suria

Majlis Penasihat Kerajaaan hanya 100 hari

Liew Vui Keong

KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Kerajaan hanya bertindak memberikan nasihat kepada kerajaan dalam tempoh 100 hari.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kerajaan bagaimanapun tidak terikat untuk mengambil semua pandangan tersebut.

"Soal akauntabiliti tak wujud kerana mereka hanya penasihat dan tidak terikat apa-apa perundangan. Tak semestinya kerajaan kena ambil pandangan mereka."Isu akauntabiliti terletak pada kerajaan dan jemaah menteri. Jadi laporan mereka yang diberi kepada kerajaan tidak perlu mengikat kerajaan. Kita akan lihat, dengar dan buat keputusan selepas itu," katanya menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) di sesi Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam soalannya, Khairy ingin tahu bila kerajaan akan membubarkan Majlis Penasihat Kerajaan yang didakwanya terlalu banyak kepincangan.

"Majlis Penasihat Kerajaan adalah satu majlis yang tak dipilih. Apakah punca kuasa majlis ini kerana ia tidak hanya beri khidmat nasihat.

"Tetapi mereka telah panggil bekas Ketua Hakim Negara dan diberitahu beliau kena letak jawatan. Ini bukan nasihat tapi arahan serta-merta agar letak jawatan," katanya.

Majlis Penasihat Kerajaan dianggotai bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican, ahli ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram dan tokoh perniagaan Robert Kuok.

Sebelum itu, menjawab soalan asal Datuk Rozman Isli (BN-Labuan), Vui Keong berkata, Majlis Penasihat Kerajaan adalah khidmat negara kerana mereka memberikan kepakaran kepada negara tanpa gaji atau bayaran.

"Majlis Penasihat Kerajaan telah adakan mesyuarat dan taklimat harian dengan ketua atau wakil institusi berkenaan. Sebanyak 340 individu daripada 220 organisasi telah dijemput untuk beri cadangan kepada Majlis Penasihat Kerajaan.

"Semua cadangan masih diperhalusi dan akan dibentangkan kepada kerajaan untuk pertimbangan. Pelaksanaan cadangan sekiranya perlu akan dilakukan oleh kerajaan," katanya.-Sinar Harian

Majlis Penasihat Kerajaan

Artikel Lain