suria

PRK Sungai Kandis: Tiga nama bakal calon PKR

Dari kiri: Mikael, Radzlan dan Yaakob.

SHAH ALAM: Kekosongan kerusi N49 Dun Sungai Kandis yang terletak di bawah Parlimen Kota Raja bakal diisi oleh calon-calon dari kalangan parti PKR.

Perkara tersebut sudah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (Harapan) yang berlangsung pada 6 Julai lalu, malah penggunaan simbol dan logo PKR juga akan dikekalkan bagi PRK Sungai Kandis.

Namun siapakah calon paling sesuai untuk mengisi jawatan wakil rakyat terdahulu, Shuhaimi Shafiei, 50 yang meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu?

Sinar Harian difahamkan ketika ini terdapat tiga nama dari PKR yang dilihat berpeluang atau mempunyai kelayakan untuk dijadikan calon bagi PRK Sungai Kandis nanti.

Desas-desus itu mengatakan tiga nama yang disebut-sebut itu adalah Bekas Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari serta dua calon muda iaitu Naib Ketua AMK Malaysia, Mohd Radzlan Jalaluddin serta Mikael Eskandar.

Kalau dilihat kepada nama-nama ini, kelebihan sudah pasti memihak kepada Yaakob kerana sudah terbukti kejayaannya memikul tugas sebagai Adun Kota Anggerik selama dua penggal selepas memenangi PRU13 pada 2013 dan PRU12 pada 2008.

Sementara itu, Mohd Radzlan Jalaluddin yang juga Penyelaras Dewan Negeri Kota Damansara dan terlibat dalam AMK Nasional sejak 2014 turut dikatakan tersenarai dalam nama calon yang akan dihantar kepada pimpinan Harapan minggu ini.

Pada PRU14 lalu, Mohd Radzlan yang juga peguam sepenuh masa, pada mulanya turut disenaraikan sebagai antara calon untuk kerusi Dun Kota Damansara, namun digugurkan.

Mohd Radzlan ketika dihubungi Sinar Harian semalam memberitahu beliau tidak mengetahui cakap-cakap beliau didakwa tersenarai calon PRK Sungai Kandis.

“Setakat ini, belum ada pimpinan yang menghubungi saya memaklumkan tentang perkara ini.

“Bagaimanapun jika ia benar, saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan,” katanya.

Seorang lagi calon PKR, Mikael Eskandar yang pernah dicadangkan calon PRU14 lalu untuk Dun tersebut juga dikatakan sekali tersenarai.

Sinar Harian difahamkan, nama beliau bagaimanapun digugurkan dari senarai selepas pimpinan atasan memutuskan untuk meletakkan Shuhaimi sebagai calon rasmi bertanding bagi kerusi terbabit pada PRU14 lalu.

Selain tiga nama ini yang berkemungkinan disenarai pendek untuk menjadi calon PRK Sungai Kandis nanti, difahamkan juga mana-mana calon lain yang sesuai serta pro kepada Presiden Harapan dikatakan mempunyai peluang cerah untuk terpilih. - Sinar Online

PRK Sungai Kandis, PKR

Artikel Berikut

Satu keluarga menangis

Artikel Lain