suria

“Kalau kawan buang puntung rokok pun saya kutip” – Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Foto Bernama

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan tindakan beliau mengutip sampah selepas perlawanan akhir Final FA bukanlah kali pertama dilakukannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Teladan rakyat Jepun, Syed Saddiq pula kutip sampah di stadium

Syed Saddiq berkata, bagi mereka yang mengenalinya, beliau sering mengutip sampah kerana tidak suka melihat orang ramai membuangnya merata-rata.

“Saya pantang kalau nampak orang buang sampah merata-rata. Bagi mereka yang mengenali saya, ini bukan berlaku hanya sekali. 

“Kalau kawan buang puntung rokok pun saya pergi kutip. Biar dia malu dan tak akan buat lagi,” kata Syed Saddiq menerusi statusnya di Twitter pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi membalas satu kritikan yang menyifatkan tindakannya itu sekadar ‘berlakon’ dan menunjuk-nunjuk bagi meraih perhatian rakyat.

Sebaliknya, Syed Saddiq yang juga ahli Parlimen Muar ini menggalakkan semua pihak untuk melakukan perkara yang sama demi kebaikan bersama.

“Ia bukan sesuatu perkara yang negatif, mengapa tidak kita melakukan perkara yang sama,” tambahnya.

Menerusi video yang tular di media sosial, Syed Saddiq yang menyarungkan jersi Harimau Malaya kuning berjalur hitam, dilihat mengutip sampah di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur selepas tamat perlawanan Piala FA, Sabtu malam.

Youtube malaysianviral.com

Jika sebelum ini, dengan membawa plastik hitam, penyokong berbaris sambil mengutip sampah dan hanya meninggalkan tempat duduk mereka sebaik bersih, selepas menyaksikan perlawanan Piala Dunia di Rusia. 

Bagaimanapun, kehadiran Syed Saddiq di Stadium Bukit Jalil bukan sekadar untuk mengutip sampah semata-mata, tetapi turut bersama puluhan ribu penyokong bola sepak bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Selangor dan Pahang.

Pahang merangkul kejuaraan Piala FA buat kali ketiga setelah menewaskan juara lima kali, Selangor, 2-0.

Syed Saddiq, Piala FA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain