suria

Penyokong parti politik terima ‘amaran’ gambar bogel

IPOH: Seorang lelaki membuat laporan polis, selepas menerima surat mengandungi butiran dirinya berserta gambar bogel yang diubah suai bersama lambang sebuah parti politik.

Mangsa yang berusia 40-an dipercayai penyokong sebuah parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menerima bungkusan berkenaan sekitar pukul 10 malam, Ahad.

Insiden itu berlaku di pekarangan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK) (T) Ladang Malaya, Selama.

Pegawai Perhubungan Media PRU14 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, kes berkenaan masih dalam tindakan.

“Belum ada sebarang tangkapan dibuat dan kes disiasat dibawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya.

Selain itu, katanya, setakat tiga hari tempoh berkempen ini, polis Perak menahan reman dua lelaki selepas terlibat dalam pergaduhan akibat mabuk di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa didatangi dua suspek berusia 33 dan 25 tahun yang dikenali sebelum berlaku pertengkaran.

“Mangsa telah dipukul dengan kayu menyebabkan kecederaan di bahagian muka, badan dan kaki. Mereka direman hingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.-SinarHarian

PRU14, Selama, bogel

Artikel Lain