suria

Cuba Curi Bot, Remaja Diikat Pada Pokok

Foto Facebook.

TUMPAT: Seorang remaja yang dicekup ketika cuba mencuri sebuah bot fiber di Kampung Jubakar Pantai di sini Rabu, diikat pada pokok oleh penduduk kampung bagi memberikan pengajaran kepadanya.

Pemilik bot, Rahim Yusoff, 54, berkata, kejadian itu disedari penduduk kampung yang melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan ketika melalui kawasan bangsal botnya.

"Kira-kira pukul 2.30 petang saya dapat tahu ada orang cuba curi bot saya. Saya terus bergegas ke laguna, nampak pencuri itu terkial-kial cuba pecahkan rantai dan mangga yang diikat di enjin bot.

"Kalau saya lambat tentunya bot saya lesap. Dia telah tarik bot saya ke dalam air cumanya nak pecah mangga itu sahaja tak dapat walau pun diketuk dengan batu berkali-kali," katanya kepada pemberita, di sini.

Menurutnya, dia terus menangkap pencuri itu dan dengan bantuan penduduk kampung, remaja itu diikat pada pokok sebelum diserahkan kepada polis.

Katanya, dia bersyukur kerana tindakannya menguncikan enjin bot itu menyelamatkan hartanya.

Menurutnya, kawasan itu kerap berlaku kecurian terutamanya minyak petrol yang disedut dari enjin.

"Bot ini saya dapat daripada bantuan Kerajaan di bawah program E-Kasih, punca rezeki saya untuk menangkap ikan. Saya bukan orang senang nak beli bot fiber ganti kalau ia hilang," katanya.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud mengesahkan menerima laporan kes itu yang disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Suspek berusia 18 tahun direman selama empat hari bermula Khamis hingga 10 Disember," katanya. - Sinar Online

curi bot

Artikel Sebelum

10 Minit, Lebih 100 Nanas Licin

Artikel Berikut

Artikel Lain