suria

Rezeki Anak Syurga

PETALING JAYA: Tiga anak istimewa atau Orang Kelainan Upaya (OKU) Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Titiwangsa mendapat penghargaan pada majlis Keluargaku Sehati Sejiwa kerana kejayaan mengorak langkah ke alam kerjaya dan memasuki pra pendidikan khas.

OKU itu adalah pelatih bermasalah Sindrom Down iaitu Mior Azib Datuk Mior Kamarulbaid, 23, kerana berjaya dipilih bekerja di sebuah restoran makanan segera di Bandar Tun Hussein Onn, pada April lalu.

Muhammad Iman Rifa’ie Muhamad Izam, 5, pula diterima memasuki pra pendidikan khas di Sekolah Dato’ Abu Bakar Jalan Davis Kuala Lumpur manakala Nur Naura Auni Ariff, 4, layak memasuki Tabika Kemas Lumayan Apartment Sri Permaisuri Bandar Tun Razak, Cheras.

Menurut Penyelia PDK Titiwangsa, Suhana Alam, ketiga-tiga anak istimewa itu mula menerima latihan, pendidikan asas dan khas serta pemulihan di pusat itu di antara satu dan tiga tahun.

Majlis penghargaan itu turut dihadiri 30 OKU dari PDK Titiwangsa dan 100 ahli keluarga mereka di Restoran Nelayan Gombak, Selangor, baru-baru ini. Turut hadir pada majlis itu ialah Penyelaras PDK Wilayah Persekutuan, Sharifah Sharina Syed Mukhsin.

Menurut Sharifah Sharina, majlis seumpama itu dapat mengeratkan lagi hubungan antara warga kerja PDK Titiwangsa dan ahli keluarga anak istimewa.

Beliau berkata, hubungan dan kerjasama positif perlu dijalin demi kebaikan anak istimewa yang sentiasa memerlukan perhatian bagi membina serta meningkatkan keyakinan mereka dalam komuniti.

Pada majlis itu, tetamu dihiburkan dengan nyanyian penuh bertenaga daripada Toi Akademi Fantasia 6 dan persembahan menceriakan daripada Uncle Siso, yang bertindak sebagai badut dan mengadakan pertunjukan silap mata.

PDK adalah pusat pemulihan di bawah naungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan program tertumpu kepada OKU yang memerlukan pemulihan dan latihan asas dari segi pergerakan, pertuturan, pendidikan khas dan kemahiran dalam aktiviti kehidupan harian.

Pada September lalu, PDK Titiwangsa, yang mula beroperasi sejak 2006 dinobatkan sebagai PDK Terbaik peringkat Wilayah Persekutuan. Ketika ini, ada 12 PDK di Wilayah Persekutuan.

 






PDK Titiwangsa, Suhana Alam, OKU

Artikel Sebelum

‘Pau Viral’ Di PAU 2017

Artikel Berikut

Artikel Lain