suria

Hati-Hati Ke Selatan Thai - Polis

Seorang rakyat Malaysia, Wan Mohd Zain W. Hussain, 46, maut dipercayai terkena peluru sesat berikutan serangan empat lelaki bersenjata di pusat pemeriksaan Kampung Cek He, Takbai kira-kira 9.30 malam Isnin waktu tempatan.

KOTA BHARU: Polis Kelantan menasihatkan rakyat negeri ini yang mahu ke Thailand agar lebih berhati-hati kerana keadaan di wilayah selatan negara tersebut masih bergolak.

"Kita tidak mahu sebarang insiden yang tidak diingini berlaku seperti mana kejadian yang menimpa seorang rakyat negeri ini yang menjadi mangsa tembakan rambang di Takbai dua hari lepas.

"Keadaan di sana masih belum aman, masih berlaku letupan dan tembakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam," kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan kepada pemberita.

Beliau diminta mengulas mengenai kejadian seorang rakyat Malaysia, Wan Mohd Zain W.Hussain, 46, dari Kampung Ketil, Tumpat yang maut dipercayai akibat terkena peluru sesat yang dilepaskan sekumpulan individu bersenjata di pusat pemeriksaan di Kampung Cek He, Takbai.

Dalam kejadian pukul 9.30 malam (waktu Thailand) itu, mangsa yang menaiki motosikal sedang melalui pusat pemeriksaan keselamatan apabila empat lelaki bersenjata yang menaiki sebuah trak pikap melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang sedang berkawal di situ dan satu daripada pelurunya terkena mangsa.

Sementara itu Hasanuddin berkata kewujudan pasukan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) di pusat pengajian tinggi amat penting dalam membentuk disiplin pelajar khusus apabila mereka tamat pengajian kelak.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada membuat pengambilan khas untuk anggota Suksis bagi diserap sebagai Kadet Inspektor.

Beliau menutup Program Sedekad Suksis Univeriti Malaysia Kelantan di Pengkalan Chepa di sini.-Bernama

Selatan Thai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

'Hooligan' Perak Mengaku Salah

Artikel Lain