suria

Empat Rumah ‘Tilam’ Terbakar Di Kodiang

Operasi memadam api turut dibantu pasukan bomba sukarela. - Bernama/Gambar hiasan

ALOR SETAR: Empat rumah tidak berpenghuni yang dijadikan tempat penyimpanan tilam serta pejabat di Felda Batu 8, Jalan Changlun di Kodiang musnah terbakar dalam kejadian petang Selasa.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam Bahadun Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.57 petang dan tiba di lokasi kebakaran itu 15 minit kemudian.

"Setibanya kami di tempat kejadian mendapati sebuah rumah dijadikan pejabat manakala tiga rumah lagi sebagai tempat penyimpanan tilam sudah terbakar hampir keseluruhan rumah tersebut," katanya.

Bahadun berkata, kebakaran itu dapat dikawal pada 7.26 malam dan operasi memadam api tamat pada 8.38 malam dengan kekuatan sebuah jentera serta enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam.

"Selain itu, operasi memadam api ini turut dibantu pasukan bomba sukarela dengan kekuatan empat jentera bersama 20 anggota bomba sukarela," katanya.

Beliau berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain