suria

Lapan Maut: Pemandu Treler Direman

JEMPOL: Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan yang meragut lapan nyawa di KM25 Jalan Bahau-Keratong, direman empat hari mulai Isnin.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superitendan Noorzainy Mohd Noor berkata, Norzailan Omar, 44, direman bagi membantu siasatan.

Ketika ditemui pemberita di pekarangan rumah mayat Hospital Jempol di sini, beliau berkata, treler berkenaan dan tiga kereta yang terbabit akan dihantar ke Puspakom untuk siasatan punca kemalangan.

Tiga kereta itu ialah Proton Exora yang terperosok di bawahnya dan terbakar menyebabkan enam orang di dalamnya rentung, selain Perodua Myvi dan Toyota Vios.

Dalam kejadian 2.20 petang Ahad, Proton Exora dinaiki enam beranak terbabit bertembung dengan sebuah treler yang memasuki laluannya sebelum kenderaan mereka dihempap treler berkenaan di kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, berhampiran Ladang Risda Palong, berhampiran Jempol.

Kemalangan yang membabitkan empat kenderaan itu turut meragut dua nyawa suami isteri yang menaiki perodua MyVi. Pemandu treler dan Toyota Vios tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jalan Bahau-Keratong

Artikel Sebelum

Artikel Lain